Persidangan DUN: Liputan 5G diutamakan di kawasan tarikan ekonomi

Persidangan DUN: Liputan 5G diutamakan di kawasan tarikan ekonomi

Kota Kinabalu: Digital Nasional Berhad (DNB) memberi keutamaan terlebih dahulu untuk menyediakan rangkaian internet 5G di kawasan mempunyai tarikan ekonomi yang tinggi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan, berkata langkah itu memandangkan kemudahan teknologi digital berkenaan penting kepada sektor perindustrian.

Datuk Yakub Khan membentang mengenai projek pelaksanaan rangkaian 5G di Dewan DUN.

“Projek pelaksanaan rangkaian 5G sedang dijalankan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) secara berfasa.

“Kawasan yang mempunyai tarikan aktiviti ekonomi tinggi diberi keutamaan kerana teknologi 5G ini memberi impak kepada sektor perusahaan dan industri.

“DNB belum mempunyai perancangan untuk melaksanakan projek 5G di kawasan pedalaman termasuk DUN Bongawan,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Daud Yusof (WARISAN – Bongawan) mengenai satus terkini jalur lebar 5G yang di kawasan pedalaman.

Bagaimanapun, Yakub berkata DNB menyasarkan sehingga 80 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara akan mendapat liputan 5G pada penghujung 2024.

Katanya, pelaksanaan yang pantas dan meluas itu akan mengurangkan jurang digital dalam kalangan masyarakat.

“Walaupun belum tersenarai dalam rancangan pelaksanaan 5G, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif JENDELA Fasa 1 untuk DUN Bongawan.

“Setakat suku ketiga 2022, dua menara baharu telah siap dan beroperasi di SK Ulu Lumagar dan SK Lingan Lama daripada empat yang dirancang dan selebihnya dijangka siap pada 2023.

“Sebanyak 30 buah menara telah dinaik taraf kepada rangkaian 4G manakala 388 premis tersedia dengan gentian optik telah siap dipasang daripada 670 premis yang dirancang.

“Projek ini dijangka siap pada penghujung 2022,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|