21 pelajar, bekas pelajar terbabit pergaduhan video tular ditahan polis

Sandakan: Seramai 21 pelajar sekolah dan seorang bekas pelajar ditahan polis selepas didapati terbabit dalam insiden pergaduhan yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, semua yang ditahan berusia lingkungan 14 hingga 18 tahun.

Katanya, mereka yang terlibat dalam insiden ini membabitkan tiga sekolah menengah berasingan di sekitar daerah ini.

“Siasatan awal mendapati, pergaduhan berpunca daripada salah faham antara semua pelajar terbabit.

“Polis akan melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk kepada pejabat peguam negara bagi mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam insiden semalam, pergaduhan dilaporkan berlaku di Jalan Elopura, Bandar Sandakan dan polis sudah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|