Pengendali kereta sapu didenda RM1,000

Tawau: Dua pengendali kereta sapu masing-masing didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah menyalahguna lesen kenderaan motor ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Amir Shah Amir Hassan turut memerintahkan kedua-dua tertuduh, iaitu Abdul Rahman, 58 dan Mahasid, 50, menjalani hukuman penjara selama 30 hari jika gagal membayar denda berkenaan.

Abdul Rahman didakwa melakukan aktiviti kereta sapu atau membawa penumpang tanpa permit pada jam 10.10 pagi, 13 Mei 2022 di sekatan jalan raya Batu 8, Jalan Apas, manakala, Mahasid didapati melakukan perbuatan itu pada tarikh dan lokasi sama pada jam 10.15 pagi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai pemandu kenderaan telah menyalah guna lesen kenderaan motor ketika diperiksa anggota polis trafik.

Berikutan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berdasarkan fakta kes, anggota polis trafik yang melakukan Op Perkhidmatan Awam melakukan penyamaran dengan berpakaian preman sebagai penumpang di dalam kenderaan dipandu kedua-dua tertuduh.

Ketika prosiding, pegawai pendakwa polis, Asisten Superintenden Joan Lee meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal selepas mengambil kira kepentingan awam dan memberi pengajaran kepada tertuduh serta orang awam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|