Warga Jabatan Pendidikan digesa amal cara kerja baharu 

Kota Kinabalu: Warga Jabatan Pendidikan Negeri Sabah digesa melakukan perubahan minda dan tingkah laku serta cara kerja yang baharu untuk menjadikan jabatan itu dan perkhidmatan awam keseluruhannya lebih disegani.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin, berkata kakitangan jabatan perlu berani berubah ke arah yang lebih baik dan meletakkan integriti sebagai tonggak utama perubahan.

Mohamad turut bersama memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Katanya, warga pendidikan perlu memperkukuhkan azam dan iltizam untuk melaksanakan perubahan dalam usaha meningkatkan keberkesanan perkhidmatan jabatan.

“Saya ingin menyeru kepada semua penjawat awam terutamanya warga Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk terus memperkukuhkan azam, memperteguh iltizam dan memantapkan ikhtiar kita untuk bersama-sama berubah dan mengubah perkhidmatan awam kepada perkhidmatan yang dihormati, disegani, diteladani kerana kepantasan perkhidmatannya, integritinya dan profesionalismenya.

“Bagi merealisasikan matlamat ini, kita perlu melakukan perubahan melalui perubahan minda dan tingkah laku serta cara bekerja yang baharu. Kita semua perlu berani berubah ke arah yang lebih baik dan fokus minda kita untuk meletakkan integriti dan amanah sebagai tonggak utama dalam perubahan yang kita ingin dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya pada Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Bahagian Profesionalisme Guru, Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mistirine Radin; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Tah Nia Jaman dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Abidin Marjan.

Mohamad berkata, membentuk sebuah organisasi yang terbilang memerlukan kerjasama dan bersatu tidak kira pangkat, bangsa, agama dan fahaman politik sebagai kunci utama.

“Kita semua sedia maklum, ‘kita tidak sempurna’, tetapi jika kita bersatu maka kelemahan itu dapat dibendung dan akhirnya kelemahan itu akan menjadi satu kelebihan.

“Untuk menjaga hubungan baik antara individu di dalam sebuah organisasi, setiap ahlinya perlu melaksanakan tugas dengan ikhlas dan jujur.

“Ini kerana dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan setiap pekerja perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berkata, melaksanakan kerja bukan hanya menyudahkan kerja sekadar melepas batuk di tangga atau membuat kerja lepas tangan tetapi perlu dilakukan bersungguh-sungguh dengan menggunakan segala kebolehan yang ada.

Jelasnya, aspek penting lain dalam perkhidmatan awam ialah pegawai mesti berintegriti iaitu merujuk kepada pegawai yang menjawat apa-apa sahaja jawatan yang diamanahkan perlu bertindak secara jujur dan amanah mengikut bidang kuasa dan tugasnya, telus, tiada konflik peribadi, berwibawa, akauntabiliti serta patuh kepada segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

“Apabila berlaku sesuatu konflik kepentingan, keutamaan haruslah diberikan kepada kepentingan awam. Oleh itu, adalah penting bagi semua penjawat awam melaksanakan segala tugas dan amanah yang diberikan dengan sebaiknya supaya kepercayaan masyarakat umum terhadap penjawat awam tidak terjejas,” katanya.

Terdahulu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis, berkata rakyat Malaysia harus memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan lebih banyak ‘moment’ perpaduan dan menamatkan ‘moment’ perpecahan’ seperti ketaksuban agama dan perkauman serta tidak membuat kenyataan provokatif yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

Beliau menekankan, perpaduan adalah hadiah tidak ternilai yang mesti dipelihara dan dihargai oleh semua warga negara di negara berbilang kaum seperti Malaysia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|