40 gajah pigmi ‘dihalau’

Lahad Datu: Lebih 40 ekor gajah pigmi ‘dihalau’ Jabatan Hidupan Liar (JHL) selepas dikesan menceroboh kawasan ladang kelapa sawit dan kebun kecil berhampiran Hutan Simpan Ulu Segama, Mensuli, di sini, hari ini.

Dalam operasi berkenaan, semua gajah-gajah berkenaan dipercayai tersesat dan sedang berusaha mencari makanan.

Gajah Pigmi yang dikesan menceroboh kawasan ladang kelapa sawit dan kebun kecil berhampiran Hutan Simpan Ulu Segama, Mensuli, Lahad Datu.

Pegawai JHL Lahad Datu, Sylvester Saimin berkata, kumpulan gajah berkenaan berada di kawasan itu semenjak akhir bulan lalu namun dipantau oleh pihak JHL setiap hari.

“Hari ini kita buat operasi menghalau gajah-gajah yang masuk ke kawasan pekebun kecil dan syarikat-syarikat supaya masuk kembali ke dalam hutan.

“Sebenarnya, semua gajah berkenaan berada di kawasan itu hampir sebulan. Kita ada buat perjumpaan bersama pekebun-pekebun kecil dan syarikat bagi mencari jalan penyelesaian berhubung pengawalan gajah ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, masa untuk gajah kembali ke hutan bergantung kepada keadaan semasa dan mungkin mengambil masa yang agak lama.

Sementara itu, Sylvester berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan syarikat ladang dan pekebun kecil bagi memasang pagar elektrik.

“Kita ada perancangan untuk meminta syarikat ladang yang besar bagi memasang pagar elektrik masing-masing dan kita akan membantu pekebun kecil dalam pengawalan gajah ini.

“Namun, setakat ini masih tidak ada tindakan agresif daripada gajah liar meskipun melalui kawasan perumahan ladang dan pekebun kecil.

“Cuma kadang-kadang gajah masuk ke kawasan perumahan pekebun kecil dan merosakkan harta benda mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Sylvester berkata, penduduk diminta menghubungi pihak JHL sekiranya ada pencerobohan gajah di kawasan masing-masing.

Katanya, pihak JHL akan membantu mengawal selain turut mempunyai ikhtiar untuk memasang satelit kolar pada kumpulan gajah bagi memudahkan mereka mengesan pergerakan dan tindakan pantas dapat diambil.

Sementara itu, Pegawai Ranger JHL, Zul Azhan Awang berkata, proses mengusir gajah liar menggunakan hasil bunyian yang bising.

Katanya, pihak jabatan juga akan membawa senjata api bagi menjaga keselamatan kakitangan yang terbabit dalam proses pengusiran gajah.

“Kebiasaannya, kakitangan JHL akan melakukan bunyi bising seperti letupan ataupun apa saja yang mampu menghasilkan bunyi bising.

“Ia disebabkan gajah sensitif dengan bunyi dan kita akan membawa senjata api bagi menjaga keselamatan kakitangan terbabit.

“Kita akan perhatikan tingkah laku gajah sekiranya ia bertindak agresif kita akan lepaskan satu tembakan ke arah udara untuk mengejutkan gajah-gajah berkenaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|