Penyelidik UMS hasilkan produk kesihatan dan kecantikan organik

Kota Kinabalu: Herba tempatan Sabah berpotensi dibangunkan dalam industri produk kecantikan dan kesihatan organik yang lebih selamat dan bebas bahan kimia berbahaya.

Ini dibuktikan oleh seorang penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berjaya menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan organik hasil penyelidikan terhadap buah durian belanda dan sarang burung.

Teh untuk kesihatan yang dihasilkan daripada durian belanda.

Menurut pakar biokimia Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS, Prof Madya Dr Md Shafiquzzaman Siddique, idea penyelidikan produk kesihatan organik tercetus pada 2017 berikutan isu pengharaman produk kosmetik tempatan akibat penggunaan bahan kimia bahaya dan terlarang ketika itu.

“Produk kosmetik sintetik akan mengubah kulit menjadi kelihatan cantik tetapi penggunaan jangka panjang boleh mengakibatkan kanser. Kajian Jacobs et. al. (2018) melaporkan sebanyak 41 peratus penyebab kanser adalah bahan kosmetik.

Shafiquzzaman juga diiktiraf sebagai antara 2 peratus saintis terbaik dunia oleh Stanford University.

“Justeru, saya telah menjalankan penyelidikan terhadap beberapa herba tempatan Sabah dan berjaya menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan organik yang dikenali sebagai Vivify,” katanya ketika ditemui media di sini baru-baru ini.

Beliau dalam pada itu memaklumkan, durian belanda dan sarang burung dipilih sebagai ramuan utama penghasilan produk tersebut.

“Ini kerana durian belanda mengandungi sebatian bioaktif yang antara lain berfungsi sebagai antioksidan, manakala sarang burung mengandungi kolagen yang terkenal dengan manfaat untuk kecantikan kulit.

“UMS akan terus membuat penyelidikan terhadap herba-herba tempatan di Sabah bagi mengenal pasti khasiat dan manfaatnya kepada kesihatan,” ujarnya yang juga antara dua saintis terbaik dunia yang diiktiraf Stanford University.

Antara produk kecantikan dan kesihatan organik yang dihasilkan Shafiquzzaman termasuklah syampu, pencuci muka, sabun mandi dan teh minuman.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|