85 bekas pelajar meriahkan SMK Pantai Batch ’21 Senior Night

Labuan: Seramai 85 bekas pelajar SMK Pantai bagi sesi 2021, di sini, menyertai majlis makan malam yang bertujuan mengumpulkan semula lepasan sekolah berkenaan selepas menamatkan persekolahan, baru-baru ini.

Majlis makan malam itu adalah idea asal dua bekas pelajar sekolah berkenaan iaitu Amanda Christabel Liew (5 Communicator) dan Ryeann Syah Sophian (5 Principled).

Norazita (tengah) bersama guru dan AJK Penganjur SMK Pantai Batch ’21 Senior Night memotong kek sebagai simbolik penganjuran majlis itu.

Amanda berkata program itu turut mendapat sokongan daripada ibu bapa yang banyak membantu dari segi kewangan selain ada yang turut serta membantu menguruskan majlis berkenaan.

Katanya, mereka turut dibantu oleh tujuh orang bekas pelajar bagi memastikan majlis berjalan dengan lancar.

Tambahnya, majlis makan malam turut diceriakan lagi dengan iringan busker daripada kumpulan “Gruv Trio” yang dibawakan khas oleh penganjur.

“Majlis makan malam ini dihadiri seramai 85 bekas pelajar dan empat orang guru SMK Pantai termasuk mantan Pengetua, Norazita Md Nor@Shamsuri.

“Saya bagi pihak penganjur mengucapkan terima kasih atas kehadiran guru-guru dan rakan-rakan,” katanya.

Jelas Amanda, tujuan asal majlis itu dianjurkan ialah bagi mengumpulkan semua bekas pelajar buat kali pertama setelah bergelar bekas pelajar SMK Pantai sebelum semuanya terpisah dengan haluan masing-masing bagi melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi.

“Penganjur turut berharap agar hubungan di antara semua pelajar berkekalan,” katanya yang gembira majlis itu berjalan lancar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|