Tiga kanak-kanak perempuan lemas di parit besar

Kota Kinabalu: Hasrat dua kanak-kanak warga asing menyelamatkan seorang lagi ahli keluarga mereka yang terjatuh ke dalam parit besar di Kampung Bunga Raya, Kepayan, di sini, kelmarin berakhir tragedi apabila semua mereka disahkan mati lemas.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, tiga kanak-kanak perempuan berusia lingkungan lima hingga 12 tahun itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

Pasukan polis menjalankan siasatan di lokasi ketiga-tiga mangsa terjatuh di parit besar Kampung Bunga Raya, Kepayan, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, berdasarkan siasatan awal, kedudukan lokasi kejadian agak terpencil dan jaraknya kira-kira 200 meter dari kawasan rumah di Kampung Bunga Raya.

Katanya, keadaan lokasi kejadian juga membabitkan parit selebar 5 meter dan kedalaman air kira-kira 2 meter berikutan air sedang pasang.

“Ketiga-tiga mangsa mempunyai hubungan keluarga dan tinggal berjiran di rumah setinggan di kampung berkenaan.

“Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa sedang bermain di tebing parit berkenaan sebelum seorang daripada mereka tiba-tiba tergelincir dan jatuh ke dalam parit berkenaan.

“Dua daripada mangsa kemudiannya cuba menyelamatkan mangsa pertama, namun disebabkan tidak pandai berenang, ketiga-tiga mereka terus lemas di parit berkenaan ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, seorang remaja lelaki yang kebetulan berada di lokasi kejadian dan melihat kejadian itu terus bertindak menarik semua mangsa keluar daripada parit berkenaan

Katanya, semua mangsa terus dibawa ke hospital menggunakan ambulans dan kenderaan persendirian untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, setiba di hospital ketiga-tiga mangsa disahkan sudah meninggal dunia akibat lemas.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|