12 sekolah masih terjejas akibat banjir

Kota Kinabalu: Sebanyak 12 sekolah di daerah Tenom dan Beaufort masih belum dapat beroperasi akibat banjir, setakat hari ini.

Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Sabah, Abidin Marjan berkata, semua sekolah yang terlibat adalah sekolah rendah dan sebuah sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC).

Katanya, mengikut rekod diterima, sembilan daripada sekolah terjejas adalah di daerah Beaufort manakala selebihnya pula di daerah Tenom.

“Antara sekolah yang masih terjejas akibat banjir kilat ialah, Sekolah Kebangsaan (SK) Lago, SK Suasa, SK Mempagar, SK Bangkalalak, SK Garama, SK Lupak, SK Jabang, SK Pintas dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lian Hwa.

“Manakala di Tenom pula melibatkan SK Gumisi, SK Ladong Sapong dan SK Inubai,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua sekolah berkenaan membabitkan seramai 1,975 murid dan pelajar yang terjejas akibat banjir kilat berkenaan.

Manakala katanya, guru yang terbabit di semua 12 sekolah berkenaan adalah seramai 215 guru.

“Semua sekolah berkenaan kini tidak dibenarkan beroperasi berikutan keadaan jalan langsung tidak boleh dilalui kenderaan.

“Selain itu, ada juga sekolah yang masih dalam kerja-kerja pembersihan disebabkan diselaputi lumpur akibat banjir berkenaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|