Kota Kinabalu: Usahawan sosial di Sabah perlu mendapatkan lebih banyak pendedahan di luar pasaran negeri ini bagi mencari peluang mengembangkan produk masing-masing.
Pengurus Besar Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC), Viviantie Sarjuni berkata, selaras dengan tujuan itu, pihaknya berbesar hati membantu menyediakan ruang menerusi kerjasama dengan usahawan lain di Semenanjung.
Antaranya, beliau berkata kerjasama dengan Sukaseni yang berpangkalan di Kuala Lumpur untuk membawa usahawan dari negeri ini ke Borneo Native Festival yang julung kali diadakan di ibu negara pada minggu depan.
“Objektif kami adalah untuk memberikan usahawan sosial pendedahan dan jaringan, serta peluang mengadakan kerjasama dengan usahawan lain di Semenanjung Malaysia.
“Kami mahu mereka belajar mengenai ekosistem di Semenanjung Malaysia. Usahawan harus memahami permintaan di Sabah mungkin berbeza daripada Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Viviantie berkata, pihak SCENIC juga berkemungkinan akan menghantar lebih daripada lima usahawan ke festival berkenaan.
Semalam, SCENIC dan Sukaseni menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kerjasama dalam festival itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC),di sini.
Antara usahawan yang terlibat ialah Jess Boubie yang akan mempromosikan barang kemas tembaga, Kraf Kelarai yang membuat beg dan kraf tradisional serta MJ oleh Mus yang menjual produk komuniti dan makanan tradisional.
Turut terbabit dalam promosi berkenaan ialah Moyog Innovation yang menyediakan infrastruktur asas e-dagang dan pemasaran serta bengkel latihan bagi membantu menjana pendapatan dengan menjual produk mereka secara dalam talian.
Viviantie berkata, SCENIC yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, juga akan memberikan sokongan kewangan kepada Sukaseni dalam penganjuran festival yang diadakan pada 20 hingga 22 Mei depan.
Sementara itu, Pengasas Sukaseni, Rafie Syazwan Arpandi berkata, penganjuran festival berkenaan mampu menggalakkan perkembangan ekonomi Sabah selain mempamerkan budaya serta gaya hidup masyarakat Borneo.
“Kami berharap usahawan tidak hanya menjual produk mereka sebaliknya melibatkan rakan usaha sama berpotensi di Semenanjung Malaysia kerana kami tahu Kuala Lumpur adalah pusat ekonomi Malaysia.
“Mungkin ada yang ingin menjadi ejen atau menjual produk berkenaan di kedai mereka kerana produk Borneo ini berpotensi untuk mendapat lebih banyak permintaan.
“Ia kerana kebanyakan barangan ini amat jarang ditemui di Kuala Lumpur, Singapura, Sarawak atau Brunei,” katanya.
Menurutnya, terdapat 70 peserta akan mengambil bahagian dalam jualan kraftangan, makanan dan minuman serta lain-lain produk.
Rafie yang berasal dari Sandakan berkata, untuk edisi pertama festival itu, Sukaseni memasukkan kedua-dua agensi kerajaan, persatuan serta universiti dari Sabah dan Sarawak.
Katanya, ia membabitkan penyertaan bazar, pertunjukan kebudayaan dan demonstrasi makanan, pertandingan tarian, ceramah, bengkel dan sesi pendidikan antara lainnya.
“Festival itu juga akan disertai bekas Miss Universe Malaysia, Francisca Luhong James dari Sarawak dan penyanyi Nikki Pallikat dari Sabah pada hari kedua.
“Selepas itu, ia juga akan disertai penyanyi tempatan dari Sabah iaitu Velvet Aduk dan Marsha Milan pada hari terakhir.
“Kita juga menggalakkan orang ramai untuk memakai pakaian tradisional pada hari Sabtu bersamaan 21 Mei depan. Ini masa kita!,” katanya.
Rafie berkata, pihak turut merancang untuk menjemput delegasi dari Indonesia dan Brunei Darussalam untuk bersama-sama pada tahun depan.
-Deasoka