Papar: Seramai 110 penumpang yang terkandas dalam kereta api akibat tanah runtuh yang berlaku di landasan Terowong Dambai, di sini, semalam berjaya diselamatkan.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, semua mangsa yang terkandas kemudian dibawa menggunakan kenderaan polis dan agensi lain untuk dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar bagi pemeriksaan kesihatan.
Katanya, semua penumpang dalam keadaan baik dan mereka kemudian dihantar pulang ke kediaman masing-masing, kira-kira jam 10.30 malam.
“Kebanyakkan penumpang yang terkandas dalam kejadian itu tinggal di kawasan Papar dan Beaufort.
“Ada penumpang dihantar menggunakan kenderaan Majlis Daerah Papar dan ada juga diambil oleh keluarga mereka,” katanya ketika dihubungi.
Kamaruddin berkata, kerja-kerja pembersihan lokasi runtuhan masih giat dilakukan.
Katanya, gerabak kereta api sudah berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Stesen Keretapi Kawang.
Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan JKNS menerusi laman sosial Facebook memaklumkan, kerja-kerja menarik jentera Lokomotif kereta api yang tersekat semalam di Terowong Dambai, di sini, berjaya dilaksanakan pagi tadi.
“Kerja pembersihan landasan yang tertimbus dengan tanah dan pokok sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat,” katanya.
Operasi berkenaan dijalankan oleh kakitangan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Daerah Papar.
Kejadian jam 6.30 petang semalam, kereta api yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Papar terkandas akibat tanah runtuh yang berlaku di landasan Terowong Dambai, Papar.
Difahamkan, lokasi kejadian runtuhan berkenaan berlaku kira-kira 7 kilometer dari Pekan Papar.
Susulan itu, JKNS menerusi laman sosial Facebook berkata, lima perkhidmatan perjalanan yang dijadual esok (hari ini) dibatalkan sepenuhnya.
Antara jadual yang terjejas adalah perjalanan pada 5 pagi, 7 pagi dan 11 pagi yang menghubungkan Beaufort dan Sembulan.
-Deasoka