PRU-15: Nama besar jadi tumpuan pemilihan calon

PRU-15: Nama besar jadi tumpuan pemilihan calon

Tamat sudah teka-teki bila pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Kini, teka-teki lain pula menyusul dan bakal menghangatkan suasana politik seluruh negara menerusi proses demokrasi yang berlaku setiap lima tahun sekali itu.

Siapa calon, parti apa bertanding, berapa calon bertanding, berapa kerusi ditandingi, siapa tidak dicalon dan siapa calon muncul semula antara teka-teki baharu yang bakal hangat dibincangkan selepas ini.

Nama-nama besar khususnya ketua atau presiden parti, timbalannya, ahli majlis tertinggi, pengerusi negeri, ketua-ketua bahagian, ketua wanita dan ketua pemuda lazimnya menjadi tumpuan dalam persoalan teka-teki itu.

Walaupun persoalan itu sebenarnya sudah lama timbul, malah sudah ada yang terjawab sebelum pembubaran Parlimen lagi, tapi secara rasminya lebih hangat selepas Parlimen dibubar hingga sehari sebelum pengumunan calon parti dan penamaan calon.

Di Sabah, nama-nama besar seperti Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan; dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup pasti berada dalam radar pemantauan rakyat.

Begitu juga Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalannya, Datuk Darrel Leiking; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew; Pengerusi PKR Sabah, Datuk Sangkar Rasam; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau; Pengerusi DAP Sabah, Frankie Poon dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman pasti menjadi perhatian.

Tidak ketinggalan juga nama-nama penting sama ada penyandang kerusi atau bekas penyandang antaranya daripada UMNO-BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Datuk Mohamad Alamin; selain daripada BERSATU-GRS, antaranya Datuk Azizah Mohd Dun dan Datuk Yamani Hafez Musa; diikuti WARISAN antaranya Datuk Mohd Azis Jamman dan Isnaraissah Munirah Majilis, manakala Chan Foong Hin dan Vivian Wong dari DAP.

Malah, nama besar lain termasuk bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan Datuk Yong Teck Lee juga mendapat perhatian pemerhati politik berdasarkan pengaruh mereka dalam politik Sabah sebelum ini.

Ini antara nama-nama yang biasa didengar dan pasti menjadi perbincangan pemerhati politik dan pengundi sepanjang tempoh sebelum pengumuman calon parti atau penamaan calon yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.

Hajiji contohnya, walaupun Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah itu berdiam diri mengenai soal pencalonan di kerusi Parlimen, ada pemerhati politik berpendapat beliau mungkin bertanding untuk membawa cabaran GRS di Parlimen Tuaran bagi merebut kerusi itu daripada Madius (UPKO-PH) selaku penyandangnya.

Di pihak UMNO-BN, Bung Moktar dilihat pasti sekali lagi akan mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan yang disandangnya sejak beberapa penggal lalu, manakala PBS dan STAR masing-masing dilihat bakal meletakkan semula Maximus di Kota Marudu dan Jeffrey di Keningau.

WARISAN pula sudah pasti mengekalkan Mohd Shafie di kerusi Parlimen Semporna yang disandangnya sejak beberapa penggal, manakala Darell kemungkinan juga dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Penampang atas tiket WARISAN.

Bagi PH Sabah, Christina dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Tawau, manakala penyandang kerusi Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari dijangka sekali lagi mempertahankan kerusinya atas tiket PH-PKR.

Madius, seorang pemimpin yang menjadi tumpuan kawan dan lawan sejurus selepas PRU-14 pula sebelum ini menyatakan akan mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran yang dimenanginya atas tiket BN pada 2018 sebelum membawa UPKO keluar untuk bergabung dengan WARISAN dan kini bersama PH.

Jika GRS tidak bertanding di Tuaran, BN pasti mengambil cabaran itu dan besar kemungkinan Abdul Rahman selaku Ketua UMNO Tuaran diletakkan di kerusi berkenaan selaras kerjasama GRS-BN yang akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

Beliau sebelum ini bagaimanapun menjelaskan jiwanya masih dekat dengan Parlimen Kota Belud yang pernah disandangnya sebelum PRU-14 dan secara terbuka menerima untuk dicalonkan di kerusi berkenaan jika dipilih pucuk pimpinan BN.

Seorang lagi nama pemimpin BN yang pasti jadi tumpuan ialah Mohamad dan beliau dijangka sekali lagi diberi kepercayaan mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis yang dimenanginya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Januari 2020.

Di Parlimen Beaufort, meskipun BN menyatakan minat untuk kembali meletak calon di kerusi berkenaan, GRS juga ada ura-ura mahu mempertahankannya, namun sama ada kekal diwakili Azizah atau nama lain, masih menjadi teka-teki.

Ramai lagi nama lain termasuk muka baharu sama ada di blok pembangkang atau GRS-BN menjadi sebutan bakal dicalonkan, namun yang jelas bilangan kerusi yang terhad memandangkan hanya 25 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, memaksa parti atau gabungan politik melakukan senarai pendek dengan ketat dan mengutamakan nama besar agar peluang untuk menang lebih cerah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|