Siapa wakil Sabah dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan?

Siapa wakil Sabah dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan?

Kota Kinabalu: Siapa bakal menteri dan timbalan menteri dari Sabah dan siapa bakal dilantik Timbalan Perdana Menteri mewakili Sabah dan Sarawak di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Persoalan itu berlegar sejak akhir minggu lalu, malah senarai Kabinet baharu persekutuan sememangnya ditunggu-tunggu rakyat seluruh negara selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu.

Rakyat mahu tahu bagaimana bentuknya Kabinet Kerajaan Perpaduan, lebih-lebih lagi dengan penyertaaan banyak parti membentuk kerjasama menubuhkan kerajaan berdasarkan titah Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan agar kerajaan perpaduan diwujudkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November lalu.

Lazimnya, Kabinet persekutuan dibentuk sejurus pelantikan Perdana Menteri, namun situasi kali ini dilihat agak berbeza memandangkan sudah seminggu pelantikan Perdana Menteri, namun belum ada pengumuman jemaah Kabinetnya.

Situasi itu sekali gus menimbulkan spekulasi kononnya berlaku tekanan daripada parti yang membentuk kerjasama terutama membabitkan jawatan penting seperti Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menyebabkan keputusan mengenai senarai Kabinet sukar dimuktamadkan.

Namun, bagi sesetengah pemerhati politik, kelewatan itu mungkin disebabkan saiz Kabinet kali ini yang dikatakan lebih kecil memerlukan pemilihan teliti bagi setiap portfolio dengan mengambil kira konsep perpaduan.

Maknanya, Anwar perlu memastikan Kabinet yang dibentuknya benar-benar mencerminkan kerajaan perpaduan iaitu merangkumi semua parti, kaum dan agama serta wilayah.

Konsep keadilan perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada parti yang berkecil hati atau merasa terpinggir setelah memberikan sokongan kepada Anwar dan kerajaan perpaduan yang dibentukya.

Memang bukan mudah untuk memilih siapa pemimpin paling layak dilantik bagi setiap portfolio, lebih-lebih lagi jika setiap parti mempunyai permintaan masing-masing terhadap portfolio yang dikehendaki.

Di Sabah, selain sekurang-kurangnya seorang wakil Pakatan Harapan (PH), wakil dari Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (WARISAN) turut dijangka membarisi jemaah Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Dari segi senioriti, kemungkinan besar Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau yang juga ahli Majlis Presiden PH antara pemimpin Sabah yang bakal dilantik dalam Kabinet Anwar.

Madius yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran pada PRU15 pernah memegang portfolio Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ketika dalam Barisan Nasional (BN) sebelum 2018, selain Timbalan Ketua Menteri Sabah ketika pentadbiran kerajaan WARISAN (2018-2020).

Selain Madius, seorang lagi wakil PH Sabah mungkin dilantik dalam Kabinet baharu persekutuan, besar kemungkinan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin yang juga AJK DAP Pusat.

Turut disebut bakal menganggotai Kabinet Anwar ialah Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sememangnya sudah tidak asing dalam Kabinet persekutuan kerana pernah menyandang pelbagai portfolio ketika dalam UMNO sebelum keluar parti itu pada 2016.

Malah, namanya turut dispekulasikan sebagai bakal Timbalan Perdana Menteri mewakili Sabah dan Sarawak, namun jika mengambil kira kenyataan Anwar sebelum ini, jawatan itu diberikan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai antara gabungan parti paling banyak kerusi dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagi BN Sabah pula, ada kemungkinan bekas Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin bakal kembali ke Kabinet persekutuan, sama ada kekal sebagai timbalan menteri atau menteri penuh.

Seorang lagi bekas Timbalan Menteri mewakili BN Sabah, iaitu Ahli Parlimen Pensiangan yang juga Timbalan Presiden PBRS, turut berpotensi menyertai Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Mungkin juga seorang lagi muka baharu bakal dilantik mewakili BN Sabah, kemungkinan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir atau Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching.

Tiga lagi Ahli Parlimen BN Sabah tidak mungkin dilantik memandangkan mereka memegang portfolio dalam Kabinet negeri Sabah iaitu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan); Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya (Putatan) dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Kalabakan).

Sementara itu, difahamkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kemungkinan menamakan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali sebagai calon Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Kedua-duanya bersama dua lagi Ahli Parlimen GRS iaitu Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Lo Su Fui (Tawau) adalah muka baharu, manakala dua lagi iaitu Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Keningau) adalah penyandang.

Jeffrey juga tidak mungkin dilantik dalam Kabinet Anwar kerana beliau memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah, manakala Jonathan mungkin tidak dipilih kerana pernah dianggap sebagai ‘pengkhianat’ PKR.

Namun, jika Anwar benar-benar melaksanakan Kerajaan Perpaduan, ada kemungkinan juga Jonathan dimasukkan semula dalam Kabinet Persekutuan berdasarkan pengalamannya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri sebelum ini.

Selain itu, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang mempunyai seorang Ahli Parlimen iaitu Datuk Wetrom Bahanda (Kota Marudu) dan dua Ahli Parlimen Bebas, Datuk Verdon Bahanda (Kudat) dan Riduan Rubin (Tenom) pastinya turut meletakkan harapan untuk menyertai Kabinet selepas menyarakan sokongan kepada Anwar.

Namun, sama ada nama mereka tersenarai atau tidak hanya diketahui apabila Anwar mengumumkan senarai Kabinetnya, dengan kemungkinannya pada petang ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|