Jawatan timbalan menteri: Sabah dijangka dapat lebih dua portfolio

Jawatan timbalan menteri: Sabah dijangka dapat lebih dua portfolio

Kota Kinabalu: Selepas pelantikan menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan yang menyaksikan hanya dua wakil dari Sabah, tumpuan kini beralih pula kepada pelantikan jawatan timbalan menteri.

Walaupun tidak sebesar menteri, jawatan timbalan menteri tetap penting kepada setiap parti yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Justeru, pemimpin Sabah tentunya berharap negeri ini mendapat lebih banyak jawatan timbalan menteri setelah hanya diberikan dua jawatan menteri dalam Kabinet baharu persekutuan.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sudah pasti menyuarakan harapan itu ketika pertemuan dengan Anwar di Putrajaya beberapa hari lalu.

Meskipun pertemuan itu tidak menjelaskan soal pelantikan timbalan menteri, pemerhati politik dan malah rakyat memahami bahawa pertemuan itu pasti ada kaitan dengan perkara berkenaan.

Soal memperkasa Borneo yang dijelaskan Hajiji dalam perkongsiannya melalui laman Facebook beliau berhubung pertemuan dengan Anwar itu boleh ditafsirkan sebagai antara agenda perbincangan selain rundingan jawatan timbalan menteri.

Pada hari yang sama, Bung Moktar turut mengadakan perjumpaan dengan Anwar, malah Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga dilihat bertemu dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berdasarkan perkongsian gambar pertemuan masing-masing dengan Anwar.

Jadi, siapakah agaknya calon timbalan menteri dari Sabah, berapa ramaikah yang akan dilantik dan kementerian apakah yang akan diberikan kepada wakil dari negeri ini?

Dengan tujuh Ahli Parlimen, BN Sabah pasti meletakkan harapan yang tinggi untuk diberi keutamaan dalam pemilihan jawatan timbalan menteri setelah tiada wakilnya dilantik sebagai menteri penuh.

Daripada tujuh orang itu, dua adalah bekas timbalan menteri iaitu Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin (bekas Timbalan Menteri Pendidikan) dan Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup (bekas Timbalan Menteri Kerja Raya).

Berdasarkan pengalaman sebagai timbalan menteri sebelum ini, Mohamad yang juga Ketua UMNO Kimanis dan Arthur yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berkemungkinan besar dilantik semula ke jawatan itu.

Selain mereka, turut dilihat berpotensi dilantik sebagai timbalan menteri mewakili BN Sabah ialah dua muka baharu iaitu Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching dan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir.

Tiga lagi Ahli Parlimen BN Sabah iaitu Bung Moktar sendiri (Kinabatangan), Datuk Ir Shahelmey Yahya (Putatan) dan Datuk Andi Muhamad Suryady Bandy (Kalabakan) tidak mungkin dilantik kerana masing-masing memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah serta Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah.

Selain BN, GRS yang sebelum ini diberikan satu jawatan menteri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali pasti berharap ada lagi Ahli Parlimennya dilantik dalam barisan timbalan menteri.

Beberapa nama daripada enam Ahli Parlimennya disebut-sebut, antaranya Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang sebelum ini pernah menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri, manakala yang lain ialah Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Sementara itu, WARISAN turut dijangka diberikan jawatan timbalan menteri, kemungkinan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis yang pernah menjadi timbalan menteri ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 hingga 2020.

WARISAN hanya mempunyai tiga Ahli Parlimen, termasuk Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna) dan Datuk Mohd Yusof Apdal (Lahad Datu).

Di pihak PH pula, selepas satu jawatan menteri mewakili Sabah diberikan kepada Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi), kemungkinan seorang lagi akan dilantik sebagai timbalan menteri.

Dari segi kekananan dan pengalaman, kemungkinan besar jawatan timbalan menteri mewakili PH Sabah diberikan kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin (DAP).

Secara keseluruhan, Sabah dijangka diberikan lebih daripada dua jawatan timbalan menteri selepas hanya dua jawatan menteri diberikan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Berdasarkan laporan terkini, Anwar dijangka mengumumkan senarai nama timbalan menteri pada malam ini, manakala upacara angkat sumpah jawatan diadakan esok di Istana Negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|