GLOPEC bantu usahawan tempatan ke peringkat global

GLOPEC bantu usahawan tempatan ke peringkat global

Kota Kinabalu: Pusat Sehenti Usahawan Global (GLOPEC) menjalin kerjasama dengan OMalaysia United Kingdom dan HYT Cross Borders China dalam usaha melebarkan sayap perniagaan ke peringkat antarabangsa menerusi platform e-dagang.

Pengarah GLOPEC, Azmi Aziz berkata, ia merupakan hasil daripada maklum balas positif terhadap ujian pasaran yang dijalankan di kedua-dua negara yang menunjukkan minat tinggi terhadap barangan keluaran Sabah.

Azmi (tengah) ketika Majlis Menandatangani Kerjasama Antara GLOPEC Sdn Bhd dengan OMalaysia Halal Street (UK) dan HYT Street Cross Borders (China) di The Pacific Sutera Hotel, Kota Kinabalu.

“Ini merupakan satu daripada usaha kita untuk membawa produk-produk tempatan atau untuk dipasarkan di pasaran antarabangsa.

“Semua orang tahu bahawa kita telah berdepan dengan pandemik COVID-19 selama dua tahun, justeru kita tidak boleh terlalu bergantung dengan bentuk perdagangan tradisional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Antara GLOPEC Sdn Bhd dengan OMalaysia Halal Street (UK) dan HYT Cross Borders (China) di The Pacific Sutera Hotel, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama seumpama itu akan dilakukan secara berperingkat dan setakat ini ia melibatkan seramai 20 usahawan bersama produk mereka tersendiri.

Bagaimanapun, tegas beliau, pihaknya akan meneruskan usaha mengenal pasti produk yang berpotensi, khususnya produk keluaran usahawan Sabah.

“Saya melihat produk-produk Sabah mempunyai potensi yang besar dan saya yakin perkara itu selepas kita menyertai misi-misi perdagangan antarabangsa seperti di London, Paris, dan Thailand.

“Peluang untuk produk kita ini begitu besar sekali, tetapi kita perlu mengubah cara kita melalukan sesuatu.

“Kerajaan perlu membantu mengikut fasa bagi memastikan bahawa produk-produk tempatan ataupun usahawan-usahawam tempatan ini tidak ketinggalan.

“Mereka perlu dibimbing agar mereka lebih peka dengan keperluan untuk bagaimana memasarkan dan membawa produk-produk mereka sendiri ke pasaran antarabangsa,” katanya lagi.

Untuk rekod, secara keseluruhannya, sebanyak 54 usahawan telah mendaftar di bawah GLOPEC dan mewakili lebih 60 jenis produk dan lebih dari 300 unit penyimpanan stok yang sedia untuk dipasarkan ke United Kingdom, Jerman, Perancis, Belanda, China, Thailand, Indonesia, Singapura dan Korea.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|