Video buaya ‘berenang’ bukan di perairan Kota Kinabalu – JHL Sabah

Video buaya ‘berenang’ bukan di perairan Kota Kinabalu – JHL Sabah

Kota Kinabalu: Rakaman video memaparkan seekor buaya didapati menyusuri perairan di Pelabuhan Kota Kinabalu seperti yang tular di media sosial sejak kelmarin, bukan berlaku di perairan daerah ini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, ia hasil daripada pemantauan yang dijalankan di sekitar perairan Pelabuhan Kota Kinabalu, pada 8 Disember lalu.

Katanya, pemantauan dilakukan di Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, Jeti Taman-Taman Sabah, Jeti Jesselton Point, Pelabuhan Kota Kinabalu dan Pelabuhan Kastam.

“Hasil temuramah dengan orang yang berada di kawasan itu mendapati mereka tidak pernah melihat buaya di kawasan jeti atau pelabuhan berkenaan.

“Struktur pelabuhan juga tidak sama dengan video yang tular. Malah mereka mengatakan bahawa video buaya yang berada di kawasan pelabuhan bukanlah di perairan Pelabuhan Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sejak kelmarin tular video yang memaparkan seekor buaya timbul di permukaan air di bawah Jeti Jesselton Point, Kota Kinabalu.

Video berdurasi 17 saat itu didakwa dirakam dari Pelabuhan Kota Kinabalu dan meminta orang ramai berhati-hati.

Sementara itu, mengenai video buaya di kawasan Tanjung Lipat, Augustine berkata, video buaya yang berada di Tanjung lipat adalah benar.

Bagaimanapun katanya, ketika tinjauan di kawasan Tanjung Lipat, tiada sebarang buaya dapat dikesan.

“Sekiranya buaya itu ditemui ketika pemantauan dilakukan, kakitangan JHL akan tembak namun ketika pemantauan dijalankan semalam, tiada sebarang buaya dapat dikesan.

“Sehubungan itu, orang awam diminta supaya berhati-hati bila berada di tepi air. Jika boleh, elakkan sebarang aktviti di laut/pantai kawasan berhampiran sehingga buaya itu dapat ditembak. Kalau nampak buaya berkenaan, sila laporkan segera kepada JHL Sabah di talian 088-215353/215330,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|