Kerjasama KCCI bangunkan Pelan Pembangunan Keusahawanan Penampang – Ewon

Kerjasama KCCI bangunkan Pelan Pembangunan Keusahawanan Penampang – Ewon

Penampang: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick akan bekerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) bagi menjayakan beberapa inisiatif khususnya membangunkan Pelan Pembangunan Keusahawanan Penampang.

Sehubungan itu katanya, beliau berkunjung ke pejabat KCCI untuk berkongsi wawasan beliau membangunkan Penampang dalam bidang keusahawanan berasaskan digital, perusahaan berasaskan agro-pelancongan, sosial dan perusahaan kecil penjaja di tamu-tamu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick

Dalam kunjungan tersebut, Ewon turut mendengar beberapa pembentangan daripada KCCI.

“Saya berharap pihak KCCI akan membantu pejabat saya untuk merangka Pelan Pembangunan Keusahawanan Penampang. Seterusnya saya akan angkat pelan ini sebagai dokumen dasar untuk diserapkan dalam program-program kementerian kelak,” katanya selepas kunjungan itu, di pejabat KCCI, di sini, semalam.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, beliau turut menggariskan beberapa pendekaan baharu untuk kementerian dalam usaha menjayakan misi Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perkara pertama ialah, tanpa mengurangkan fokus kementerian sedia ada, saya mahu memberi tumpuan lebih besar untuk Sabah dan Sarawak sesuai dengan amanat Perdana Menteri untuk Kerajaan Perpaduan iaitu memberi fokus kepada kedua-dua negeri itu.

“Saya juga mengatakan kepada kementerian bahawa, saya akan memberi fokus tambahan yang lebih banyak di kawasan Penampang dan Kadamaian,” katanya.

Beliau berkata, antara fokus bagi Penampang dan Kadamaian ialah perusahaan berasaskan digital ekonomi, agro-tourism dan isu berkaitan penjaja di tamu.

“Fokus mengenai Digital Ekonomi di Penampang, saya percaya dapat membantu merealisasikan manifesto saya pada pilihan raya umum baru-baru ini iaitu melihat Penampang menjadi satu daerah perusahaan berasaskan digital ekonomi.

“Secara prinsipnya kementerian telah bersetuju membina atau membangunkan satu kompleks menempatkan perusahaan-perusahaan berkaitan dengan digital dan Teknologi Maklumat (IT) termasuk perusahaan animasi, pembangunan perisian dan apps.

“Kita akan kenal pasti kawasan yang sesuai untuk kompleks itu di Penampang,” katanya.

Mengenai pelancongan berasaskan pertanian, Ewon berkata, Kadamaian mempunyai banyak pelancongan berasaskan komuniti dan amat sesuai untuk fokus dalam agro-tourism.

Katanya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempunyai 11 agensi.

“Kementerian ini mempunyai 11 agensi di bawahnya iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia, SME Corp Malaysia, Tekun Nasional, Institut Keusahawan Negara, Bank Rakyat, SME Bank, UDA Holdings Berhad, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

“Sebahagian daripada agensi itu mempunyai cawangan di Sabah dan ada beberapa agensi bersetuju membuka pejabat atau cawangan lain di Sabah. Antaranya Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA Holdings Berhad).

“Untuk tujuan itu, saya sedang mencari satu kompleks kementerian di Penampang bagi menempatkan agensi-agensi di bawah KUSKOP,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|