469 PATI Filipina diusir pulang

469 PATI Filipina diusir pulang

Sandakan: Seramai 469 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dipindahkan dari Pelabuhan Sandakan untuk balik ke negara asal, semalam.

Semua PATI berkenaan yang sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Tawau dihantar ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan pengangkutan laut.

PATI warga Filipina diusir pulang melalui Pelabuhan Sandakan, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua yang dipindahkan membabitkan seramai 385 lelaki, 60 wanita dan 14 kanak-kanak.

“Semua kanak-kanak yang terbabit dengan penghantaran pulang adalah penghantaran bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing.

Semua PATI warga Filipina diusir pulang mengggunakan Pengangkutan Feri MV Antonia 1 di Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

“Semua PATI ini ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini.

“Bermula 1 Januari 2022 sehingga 8 Disember 2022, JIM Sabah telah melaksanakan pemindahan warga asing pelbagai warganegara seramai 5,394 orang melalui udara, laut dan darat,” katanya.

Sementara itu, SH Sitti Saleha mengingatkan semua warga asing supaya memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah.

Katanya, semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.
 
“JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengusiran ini khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan,” katanya.

Tambah beliau lagi, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI.

“Ia dijalankan selepas semua PATI melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|