Ganti kerajaan baharu, itu mengarut: Bung

Ganti kerajaan baharu, itu mengarut: Bung

Kota Kinabalu: Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan terdapat sebarang pembabitan wakil rakyat BN mahupun ‘gerakan’ untuk menubuhkan kerajaan baharu di Sabah bagi menggantikan yang sedia ada.

Menurut beliau, desas desus yang mendakwa ada dikalangan ADUN BN Sabah juga bersekongkol dengan pihak pembangkang juga tidak benar dan disifatkan sebagai teori mengarut.

“Merujuk cakap-cakap yang mengatakan ada wakil rakyat atau ADUN BN terlibat dengan usaha menggantikan kerajaan sedia ada adalah palsu dan sengaja disensasikan oleh pihak tertentu.

“BN Sabah sama sekali menafikan perkara ini dan saya selaku Ketua BN Sabah, kita terus akan berkerjasama dengan GRS untuk mentadbir kerajaan negeri Sabah,” katanya.

Terdahulu, terdapat beberapa laporan yang menyebarkan isu berlakunya gerakan tertentu untuk menggangu gugat pentadbiran kerajaan GRS/BN di Sabah susulan perubahan lanskap politik di kerajaan pusat.

Terbaru, memetik sebuah laman portal politik, Sabah Kini2 yang mendakwa ada sebahagian ADUN BN Sabah kononnya terlibat mengumpul surat akuan bersumpah untuk menyokong Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut menasihatkan semua rakyat di negeri ini supaya tidak terpengaruh akan khabar angin yang sengaja menimbulkan provokasi dan teori politik secara melampau.

“PRU15 sudah berlalu, jadi ini waktunya kita berkerja dan mempertingkatkan usaha menjaga kebajikan rakyat.

“Daripada terus melayan karenah atau teori politik pihak tertentu, ada baiknya kita di pihak kerajaan menumpukan rakyat, pembangunan negeri Sabah,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|