MA63: Sebulan selesai isu berbangkit – TPM

MA63: Sebulan selesai isu berbangkit – TPM

Kuching: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beliau diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikan perkara berbangkit berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bercakap kepada media di sini, hari ini, Fadillah berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali akan mendapatkan input daripada kerajaan Sabah.

Katanya, beliau diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan segala tuntutan MA63 dalam tempoh sebulan.

“Sudah tentu ia menjadi tumpuan utama saya untuk dibincangkan dengan kerajaan Sarawak dan Sabah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Katanya, semua perkara berbangkit mengenai MA63 yang boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan akan diselesaikan segera.

Bagaimanapun, katanya bagi perkara yang memerlukan kelulusan Parlimen, ia akan dibawa ke Dewan Rakyat terlebih dahulu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|