KEPKAS bincang isu lesen bas persiaran, kenderaan sewa pandu bersama MOTAC

KEPKAS bincang isu lesen bas persiaran, kenderaan sewa pandu bersama MOTAC

Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS) membincangkan isu pembaharuan lesen bas persiaran dan kenderaan sewa pandu di Sabah ketika kunjungan hormat terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing di ibu negara, hari ini.

Isu itu dibangkitkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin susulan masalah yang dihadapi pengusaha pelancongan di negeri ini berhubung isu lesen bas persiaran dan kenderaan sewa pandu.

King Sing (tengah) pada pertemuan bersama Jafry (tiga kiri) di ibu pejabat MOTAC.

King Sing menjelaskan, pihaknya memandang serius berhubung perkara yang melibatkan pengoperasian sektor pelancongan.

Katanya, beliau komited untuk menyelesaikan isu terbabit secara tuntas bagi memastikan hasrat kerajaan untuk memulihkan sepenuhnya industri pelancongan negara mampu dicapai dalam masa terdekat.

Sementara itu, Jafry yakin kerjasama strategik di antara KEPKAS dan MOTAC bakal memberi impak besar khususnya kepada pembangunan industri pelancongan dan kebudayaan di negeri ini.

Selain itu, katanya bagi memastikan penggiat industri pelancongan terus berdaya saing, KEPKAS akan memohon bantuan atau insentif kerajaan menerusi MOTAC untuk membantu dari segi promosi dan pemasaran produk pelancongan serta kebudayaan yang ada di Sabah.

Dalam pada itu, King Sing turut berbesar hati untuk membantu menaik taraf kawasan atau premis pelancongan tempatan.

Jafry berkata, trend pelancongan masa kini sama ada tempatan atau asing dilihat lebih memilih produk serta destinasi pelancongan berasaskan komuniti.

“Kita lihat trend pelancongan kita sudah berbeza, kini lebih ramai yang pergi ke tempat seperti ini dan mereka mahu melihat alam semulajadi yang cantik sekali gus merasai kehidupan serta budaya masyarakat di sesebuah tempat,” katanya.

Kataya, KEPKAS mengalu-alukan hasrat King Sing dalam membantu pengusaha pelancongan menaik taraf kualiti infrastruktur sedia ada bagi memberi keselesaan kepada pelancong.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|