Turun padang sulung Ewon selepas jadi menteri persekutuan

Turun padang sulung Ewon selepas jadi menteri persekutuan

Penampang: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick turun padang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di kawasan ini, khususnya isu tempat letak kereta di Klinik Kesihatan Penampang dan masalah banjir di Kampung Kolopis dan Tuavon, di sini, hari ini.

Ketika lawatan di Jalan Poliklinik, beliau mencadangkan supaya dibina tempat letak kereta di kedua-dua tepi jalan raya kawasan itu bagi memudahkan orang ramai meletakkan kereta seterusnya mengelak kesesakan lalu lintas.

Ewon meninjau lokasi sering berlaku banjir di Kampung Kolopis, Penampang.

“Saya menerima banyak rungutan dan aduan daripada penduduk kampung mengenai masalah kesesakan jalan dan tempat letak kereta khususnya mereka yang mendapatkan rawatan atau perkhidmatan di Klinik Kesihatan Penampang.

“Saya berharap penyediaan tempat letak kereta di kedua-dua belah tepi jalan ini akan dapat menyelesaikan masalah itu seterusnya memberikan keselesaan kepada semua pengguna jalan raya,” katanya.

Ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkesempatan meninjau keadaan jalan itu untuk mendapatkan gambaran sebenar.

Selepas itu, Ewon melawat Kampung Kolopis dan Tuavon untuk mendengar cadangan penyelesaian masalah banjir daripada penduduk kampung seterusnya melawat kawasan yang dikatakan penduduk kampung antara punca masalah banjir di kampung terbabit.

Penduduk Kampung Kolopis mendakwa antara punca berlakunya banjir di kampung itu ialah projek Lebuhraya Pan Borneo dan pembinaan saluran pembetung yang kecil di kawasan itu.

Ewon berkata sebagai penyelesaian terhadap masalah itu, beliau akan menjemput kementerian berkaitan melawat punca masalah banjir di Kampung Kolopis bagi memudahkan mereka mengambil tindakan perlu.

Ia adalah lawatan pertama beliau di kampung itu selepas dilantik menjadi Ahli Parlimen Penampang dan dilantik sebagai menteri persekutuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|