Kawanan gajah ‘jalan-jalan’ depan rumah, sempat ‘sepak’ motosikal

Kawanan gajah ‘jalan-jalan’ depan rumah, sempat ‘sepak’ motosikal

Tawau: Tular video memaparkan kawanan gajah liar memasuki penempatan penduduk di Pusat Perhutanan Luasong, di sini, hari ini

Rakaman video berdurasi satu minit lapan saat memaparkan kawanan gajah liar terdiri daripada antara enam hingga tujuh ekor memasuki kawasan rumah penduduk.

Kawanan gajah yang memasuki penempatan penduduk di Pusat Perhutanan Luasong, Tawau.

Seekor gajah besar dilihat menggunakan belalainya menolak sebuah motosikal yang diparkir di hadapan rumah berkenaan.

Penghuni yang menyedari kehadiran gajah itu kemudian menjerit untuk menghalau kawanan gajah berkenaan.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau Primus Lambut ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan seramai lima kakitangan JHL Tawau digerakkan ke lokasi berkenaan.

Katanya, aduan mengenai kejadian itu diterima daripada penduduk Luasong, kira-kira jam 9 pagi tadi.

“Seramai lima kakitangan JHL Tawau digerakkan ke lokasi berkenaan untuk membuat pemantauan berdasarkan aduan itu.

“Difahamkan kawanan gajah itu dianggarkan hampir 30 ekor dan berdasarkan maklumat kakitangan JHL Tawau di lapangan, ketika ini kawanan gajah itu masih berada berhampiran kawasan kampung berkenaan.

“Pasukan JHL Tawau dengan dibantu kakitangan Yayasan Sabah kini memantau pergerakan kawanan gajah bagi mengiring kawanan itu ke kawasan jauh dari perkampungan,” katanya.

Jelas beliau lagi, setakat ini direkodkan kerosakan membabitkan sebuah motosikal yang dijatuhkan oleh kawanan gajah berkenaan.

“Lain-lain merosakan belum diterima daripada pasukan di lapangan dan mereka masih memantau pergerakan kawanan gajah berkenaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|