150 penyelidik sertai Persidangan Serantau Asia-Pasifik

150 penyelidik sertai Persidangan Serantau Asia-Pasifik

Kota Kinabalu: Seramai 150 penyelidik dari serata dunia menyertai Persidangan Serantau Asia-Pasifik Persatuan Antarabangsa bagi Penyelidikan Sektor Ketiga (ISTR) ke-12 yang berlangsung pada 7 hingga 9 Disember ini.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hadir merasmikan majlis itu, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata peranan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) diakui berkesan dalam menyumbang kepada proses penggubalan dasar kerana ia menjadi sumber maklumat penting untuk rakyat dan kerajaan.

Katanya, masyarakat telah membuktikan bahawa ketabahan mereka dalam menangani COVID-19 yang telah mengancam kesihatan awam.

”Menerusi wacana intelektual seperti ini ia akan mampu membimbing mereka dalam membantu penggubal dasar dalam merancang dan melaksanakan program yang cekap. Ini termasuklah peranan CSO yang telah berjaya memainkan pelbagai peranan.

“Mereka memantau dasar dan tindakan kerajaan serta memastikan kerajaan bertanggungjawab dalam pelaksanaannya.

“Mereka terlibat dalam advokasi dan menawarkan dasar alternatif untuk kerajaan, sektor swasta dan institusi lain, serta menyampaikan perkhidmatan, terutama kepada golongan miskin dan kurang mendapat perkhidmatan,” katanya dalam ucapan sempena perasmian majlis itu, kelmarin.

Hadir sama Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Kasim Hj Mansor.

Pada majlis itu, Ellron turut menyaksikan acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bertujuan untuk mengukuhkan usaha kolaboratif berdasarkan inovasi, penyelidikan, penerbitan, latihan dan seminar.

Melalui kerjasama itu, UMS – YIM akan menyumbang idea, tenaga dan kepakaran melalui pelbagai aktiviti yang akan memberi faedah dan boleh dimanfaatkan untuk pembangunan dan kemajuan yang signifikan kepada masyarakat, negeri dan negara.

UMS telah diwakili oleh Dr. Kasim manakala YIM diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Sharmila Mohamed Salleh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|