Kompleks Keusahawanan Desa dan pembangunan Tamu Taginambur diteruskan – Ewon

Kompleks Keusahawanan Desa dan pembangunan Tamu Taginambur diteruskan – Ewon

Kota Belud: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu kompleks keusahawanan desa Kadamaian di Taginambur yang beliau mulakan sebelum ini diteruskan oleh kerajaan.

Menurutnya, kompleks itu dibangunkan ketika beliau menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah pada 2018 hingga 2020.

Ewon ketika lawatan di Kadamaian, Kota Belud.

Dalam tempoh dua tahun itu, beliau telah menyalurkan peruntukan bagi menebus guna tanah dan membina dua bangunan keusahawanan desa.

Pembinaan empat bangunan keusahawanan dan satu deretan gerai penjaja tidak dilaksanakan selepas beliau berada di luar kerajaan selepas itu.

“Dalam kunjungan pertama saya ke DUN Kadamaian sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya mengunjungi kompleks ini dan menyatakan wawasan saya kepada Pejabat Daerah Kota Belud supaya pembangunan kompleks ini diteruskan.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah agar pembangunan kompleks ini diteruskan melalui pembiayaan bersama Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

“Saya mahu melihat pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 yang turut mencakupi pembangunan kompleks keusahawanan ini dijayakan oleh kerajaan,” katanya.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyatakan demikian selepas mengadakan kunjungan ke kompleks berkenaan dan Kadamaian Square bersama Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Winnie Anggon.

“Selain itu, saya ingin meneruskan pembangunan fasa ketiga Kadamaian Square dan Tamu Taginambur iaitu pembinaan landskap, taman permainan kanak-kanak, parit keliling tamu dan kemudahan lain dapat dibina pada tahun hadapan.

“Saya akan berbincang dengan menteri lain yang berkaitan agar peruntukan dapat disediakan untuk tujuan ini.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab melihat hal ehwal penjaja, saya mahu memulakan pembelaan penjaja bermula di Kadamaian dan Penampang bagi menyediakan kemudahan dan program sokongan yang berkaitan kepada mereka.

“Sambutan Hari Penjaja pada 22 Disember ini akan diadakan di Putrajaya kerana ianya telah dirancang lebih awal oleh Kementerian tetapi pada tahun hadapan, saya mahu sambutan ini diadakan di Kadamaian. Sebab itu kemudahan di sini perlu dinaiktarafkan dalam fasa tiga ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|