Kota Kinabalu: Seorang pemilik rumah, di sini, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan secara terperinci mengenai kelulusan pelan pembinaan rumah yang mencurigakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Ia selepas pemilik terbabit tidak berpuas hati terhadap kerja-kerja pembinaan rumah jirannya yang mengubah suai rumah teres setingkat kepada rumah teres dua tingkat.

Pengadu, SF Lee, 56, yang juga pemilik rumah teres setingkat di Taman View Point, Off Jalan Tuaran, di sini, berkata dia dan keluarganya menderita berikutan kerja-kerja pembinaan rumah jirannya yang meruntuh dan membina semula rumah sejak empat tahun lalu.
“Berikutan kerja-kerja memusnahkan dan pembinaan semula itu, impaknya telah menyebabkan kerosakan teruk terhadap rumah kami. Antara kerosakan yang kami alami adalah keretakan jubin lantai, atap dan siling bocor, keretakan pada bahagian dinding rumah; hampir keseluruhan bahagian rumah seperti ruang tamu dan dapur dimasuki air melalui bahagian struktur rumah yang rosak setiap kali hujan.
“Kami juga telah membuat beberapa rakaman video dan gambar sebagai bukti kejadian tersebut.
“Selain berhadapan dengan kepayahan untuk membersihkan rumah setiap kali ‘banjir’ berlaku, kami juga tidak mempunyai ketenangan untuk tidur pada setiap malam apabila musim hujan, kerana kami bimbang akan keselamatan kami.
“Kami percaya struktur utama rumah kami telah terjejas disebabkan kerja-kerja pembinaan semula itu.
“Ketika hujan, air yang memasuki rumah kami telah menyebabkan keadaan licin di dalam rumah. Insiden seperti tergelincir juga telah berlaku kepada saya dan cucu saya sehingga kami mengalami kecederaan,” katanya.
Katanya, pada 7 September 2021, anak lelakinya terpaksa membuat aduan kepada DBKK untuk memohon campur tangan bagi menghentikan kerja-kerja pembinaan berkenaan disebabkan air hujan memasuki rumah pada tahap yang serius ketika hujan lebat.
Beliau berkata laporan polis juga dibuat terhadap insiden itu, selain satu lagi laporan polis pada 28 Disember 2021 selepas jirannya datang ke rumah mereka untuk berhadapan dengan Lee dan anaknya yang menyebabkan keadaan yang tegang serta berunsur ugutan.
Lee mendakwa sejak kerja-kerja pembinaan semula dilakukan empat tahun lalu, suaminya SY Chu dan anaknya KY Chu sering membuat aduan kepada DBKK Hotlines.
Bagaimanapun, katanya selepas beberapa tinjauan siasatan dilakukan oleh pegawai penguatkuasa, isu berkenaan tidak berjaya diselesaikan sehingga ke ari ini.
Berikutan itu, Lee juga pernah secara rasmi menulis surat aduan kepada Mayor DBKK, Datuk Noorliza Awang Alip pada 22 Jun dan 27 Jun 2022 yang merayu kepadanya agar campur tangan untuk mengeluarkan arahan menghentikan kerja-kerja pembinaan itu.
“Namun, sehingga hari ini, kami masih belum menerima apa-apa maklum balas rasmi daripada mayor sendiri atau pejabat beliau mengenai aduan kesengsaraan kami. Kami sangat kecewa dengan kelembapan DBKK yang gagal melaksanakan tugas untuk melindungi keselamatan orang awam,” katanya.
Lee juga mendapati pembinaan rumah teres terbabit sebelum ini dirobohkan kerana didapati gagal mematuhi piawaian keselamatan, namun jiran berkenaan kini sedang membina semula sekali lagi.
Beliau berasa hairan, walaupun dia dan suaminya sudah melakukan banyak aduan sejak kerja-kerja memusnahkan, membina semula rumah pada 2019 dilakukan, namun belum ada kesudahan terhadap kes itu.
“Unit penguatkuasa DBKK juga sudah datang membuat siasatan dan mereka sendiri menyaksikan kerosakan teruk terjadi akibat kerja-kerja berkenaan terhadap rumah kami, tetapi masih tiada sebarang tindakan wajar dilakukan terhadap pemilik rumah yang tidak bertanggungjawab itu, termasuk mengeluarkan arahan untuk menghentikan pembinaan (stop-work order) sehingga hari ini,” katanya.
Lee juga terkejut apabila dimaklumkan bahawa DBKK telah meluluskan pelan pembinaan bangunan yang dihantar oleh jirannya tanpa mendapat persetujuan daripada beliau.
“Persetujuan daripada saya diperlukan seperti termaktub dalam undang-undang kecil DBKK, sebelum sebarang kerja-kerja pembinaan dibenarkan, saya sebagai jiran sebelah harus diberikan notis pemberitahuan,” katanya.
Beliau juga menafikan dakwaan beberapa pegawai kanan DBKK yang mengatakan bahawa dia telah bersetuju secara bertulis membenarkan kerja-kerja memusnahkan dan pembinaan semula dilakukan, yang mana ia adalah asas kepada DBKK untuk meluluskan pelan pembinaan bangunan yang dihantar oleh pihak perunding.
Pegawai DBKK berkenaan berkata demikian ketika pertemuan diadakan di antara anaknya (wakil Lee) dengan perunding jiran berkenaan pada 3 Jun 2022.
“Apabila kami meminta untuk melihat pelan pembangunan yang diluluskan itu, pegawai terbabit enggan melakukan demikian dengan mengatakan ianya adalah ‘sulit dan persendirian…anda tiada hak untuk melihat…,” katanya.
Lee maka berharap, dengan laporan SPRM dilakukan anaknya (wakil Lee), agensi itu dapat segera melakukan siasatan terhadap berkenaan bagi memastikan tidak wujud sebarang ketirisan serta penyalahgunaan kuasa dalam meluluskan pelan pembinaan rumah berkenaan.
Selain itu, dia juga menyeru DBKK agar mengemukakan maklumat jelas kepada orang awam mengenai piawaian atau undang-undang membina semula, mengubah suai perumahan bagi mengelak sebarang ketegangan di antara penduduk.
-Deasoka