PRU-15: Wanita GRS sudah serah senarai calon

PRU-15: Wanita GRS sudah serah senarai calon

Kota Kinabalu: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah mengemukakan senarai nama calon wanita untuk menggalas cabaran Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Sabah.

Ketuanya, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata pihaknya bagaimanapun menyerahkan keputusan untuk menentukan calon mewakili Wanita GRS kepada pucuk pimpinan GRS.

Azizah bersama Malianah (kanan), Flovia (kiri), (berdiri dari kiri) Amisah, Aziah, Noraiza Noor, Redonah dan Fahzean selepas mesyuarat Wanita GRS di Kota Kinabalu.

“Terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menentukan berapa ramai dan siapa yang akan menjadi calon serta di mana mereka akan bertanding,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Wanita GRS, di sini, malam tadi.

Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Timbalan Ketua Wanita GRS, Datuk Amisah Yassin; Setiausaha Wanita GRS, Datuk Redonah Bahanda; Ketua Wanita STAR, Datuk Flovia Ng; Ketua Wanita PBS, Datin Malianah Ugau; Ketua Wanita SAPP, Noraiza Noor; Setiausaha Kerja Srikandi BERSATU Sabah, Aziah Atoh; Timbalan Setiausaha Srikandi BERSATU Sabah, Fahzean Mohiddin dan Timbalan Ketua Penerangan Srikandi BERSATU Sabah, Halizah Din.

Sementara itu, beliau berkata berikutan pembubaran Parlimen semalam, jentera pilihan raya wanita GRS sudah sedia diaktifkan dan semua parti komponen juga sudah membuat persiapan masing-masing atas semangat GRS.

Beliau berkata, Wanita GRS sudah bersedia menghadapi PRU-15 dan akan melancarkan jenteranya pada 23 Oktober ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang akan disempurnakan Ketua Menteri Sabah selaku Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor.

Selepas pelancaran itu, katanya Wanita GRS akan mengadakan mesyuarat bersama-sama dengan ketua penyelaras dari 25 kawasan Parlimen seluruh Sabah.

“Sebelum ini, gerak kerja Wanita GRS sudahpun bersedia. Jentera kami turun sebagai satu nama GRS, kita turun dengan membawa nama Wanita GRS,” katanya.

Azizah yang juga Ketua Srikandi BERSATU Sabah berkata Wanita GRS sudah lama turun padang bagi mendekati rakyat, mendalami permasalahan mereka dan menghulurkan bantuan tanpa mengira pegangan politik.

“GRS baru dua tahun penubuhannya. Janji kita bantu rakyat dan dari segi jentera, kita sudah bergerak bersama dan insya-Allah kita bersedia menghadapi pilihan raya umum ini dengan kerjasama semua parti komponen dalam gabungan GRS,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|