Kota Kinabalu: Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM) Cawangan Sabah terus komited dalam mendekati petugas barisan hadapan (frontliner) yang berjuang menempuh cabaran mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.
Pengarah YADIM Cawangan Sabah, Samin Ongki berkata, pihaknya secara berterusan melaksanakan tanggungjawab sosialnya bukan sahaja di kalangan kumpulan sasar melalui bantuan bakul makanan barisan.

“Kita faham petugas barisan hadapan berperanan penting ketika ini kerana mereka bukan sahaja terbeban dengan tugas namun berhadapan dengan risiko yang tinggi ketika menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan berupa bekalan vitamin-C yang bernilai RM10,000 kepada beberapa pihak keselamatan.
Antara yang menerima sumbangan tersebut adalah Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Jabatan Kesihatan dan Jabatan Relawan Malaysia (RELA).

Sementara itu, mengulas lanjut, Samin berkata, YADIM memilih untuk memberikan sumbangan berupa bekalan vitamin-C tersebut sebagai salah satu kaedah membekalkan suplemen kepada petugas meningkatkan daya ketahanan ketika bertugas.
-Deasoka