WHS kini dijenama sebagai Qhazanah Sabah

WHS kini dijenama sebagai Qhazanah Sabah

Kota Kinabalu: Warisan Harta Sabah Sdn Bhd (WHS) yang merupakan cabang pelaburan di negeri ini, kini dijenamakan semula sebagai Qhazanah Sabah.

Penjenamaan semula itu dilihat sebagai salah satu sokongan kepada halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia sekaligus menunjukkan komitmen kuat Qhazanah Sabah untuk mencapai objektifnya mengubah Sabah menjadi negeri yang progresif dan membangun di Malaysia.

Hajiji (tengah) menandatangani surat penjenamaan semula WHS kepada Qhazanah Sabah dalam majlis itu di PPNS, Kota Kinabalu, hari ini. (Gambar ihsan unit media JKM Sabah)

“Adalah menjadi harapan pihak Kerajaan Negeri agar Qhazanah Sabah terus unggul dan menyumbang kepada pembangunan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran penjenamaan semula syarikat itu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Pengerusi Qhazanah Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Salleh dalam majlis berkenaan turut menyampaikan logo Qhazanah Sabah yang melambangkan kekuatan dan pulangan kukuh diterjemahkan melalui tulisan blok bulat menjulur ke luar untuk membentuk huruf “Q” kepada Ketua Menteri.

Untuk rekod, syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) tersebut yang ditubuhkan pada 6 April 1995, adalah hasil buah fikiran Salleh selaku Ketua Menteri ketika itu.

Hajiji (dua kanan) menerima plak simbol Q daripada Salleh (dua kiri) dalam majlis tersebut. (Gambar ihsan unit media JKM Sabah)

Objektif utamanya adalah untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Sabah dan mempunyai rekod prestasi yang baik dalam membayar dividen lebih daripada RM200 juta kepada kerajaan negeri sejak ia ditubuhkan.

Sementara itu, Qhazanah Sabah menjana pendapatan dari anak syarikatnya dengan usahasama perniagaan bermula daripada tadbir urus dan perkhidmatan, pelabuhan, kewangan, telekomunikasi, pemilikan kenderaan bermotor dan perkhidmatan yang berkaitan dengan pengangkutan, pengurusan tenaga diperbaharui, pembangunan hartanah serta perkhidmatan kesihatan dan perubatan.

Kini, perniagaan terbaharunya ialah penjenamaan semula salah satu anak syarikat milik penuhnya, Kojasa Holdings Berhad yang akan melancarkan kedai runcit platform digitalnya yang dikenali sebagai KOJASA Mart, kerjasama dengan
Epost Express (Sabah).

Qhazanah Sabah juga menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Go Auto Holdings Sdn Bhd dan Gemilang Coachwork Sdn Bhd untuk meneroka peluang perniagaan dalam sektor pengangkutan serta pembuatan automotif.

Ini telah membuktikan kemampuannya untuk mencipta dan menyesuaikan syarikat itu dalam masa yang mencabar ini untuk mengukuhkan serta mengembangkan perniagaan sejajar dengan matlamatnya untuk mempelbagaikan Belanjawan negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|