Warga emas ditahan bawa barang kawalan tanpa permit

Warga emas ditahan bawa barang kawalan tanpa permit

Tawau: Seorang lelaki warga emas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dikesan membawa barang kawalan tanpa permit di perairan pelabuhan, di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 8.40 pagi itu, lelaki berusia 64 tahun terbabit yang dilihat membawa barang kawalan berkenaan terus ditahan untuk pemeriksaan.

Pegawai Pemerintah PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, hasil pemeriksaan, suspek dikesan membawa tong gas dan minyak masak bersubsidi.

Katanya, lelaki terbabit gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atas semua barang kawalan yang dibawa.

“Nilai rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan berjumlah RM24,400.50 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ridzauddin berkata, kes akan dirujuk ke KPDNHEP cawangan Tawau dan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat menerusi aplikasi whatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|