ESSCOM perketat operasi di Jeti CIQ lama, cegah Varian Delta

ESSCOM perketat operasi di Jeti CIQ lama, cegah Varian Delta

Tawau: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan perketatkan operasi di kawasan perairan Jeti Kastam, Immigresen and Kuarantin (CIQ) Lama Tawau, bagi mencegah penularan Covid-19 Varian Delta.

Umum mengetahui, jeti berkenaan memberi kemudahan kepada penduduk Pulau Sebatik untuk memasuki tanah besar dan memunggah hasil pertanian.

Namun, sukar dinafikan, jeti CIQ berkenaan kini dibanjiri warga asing dan menjadi pendaratan Pendatang Asing Tanpa Izin(PATI) dan aktiviti penyeludupan dari negara jiran Indonesia.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, operasi berkenaan dijalankan bermula jam 6 pagi hingga jam 3 petang setiap hari.

Katanya, ia akan memfokuskan kemasukan PATI, penyeludupan dan pematuhan Prosedur Operasi Standard(SOP).

“Apa yang membimbangkan, kemasukan PATI yang bolos memasuki negara ini menggunakan Jeti CIQ berkenaan dikhuatiri membawa virus Varian Delta yang akan membahayakan penduduk di daerah Tawau.

“Oleh itu, kali ini lebih kepada mengekang Varian Delta, nombor dua penyeludupan dan kita juga menggembling tenaga semua agensi terbabit yang diketuai ESSCOM,” katanya.

Ahmad Fuad berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke CIQ di sini selain melawat pos kawalan PGA Sungai Melayu pulau Sebatik, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, antara agensi terbabit adalah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malysia (JIM).

Selain itu katanya, operasi turut membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita juga akan memperkemaskan susun atur cara pengoperasian yang selama ini dibuat hanya kepada pematuhan SOP.

“Esscom sudah mengambil alih dan tidak lagi tertakluk kepada pematuhan SOP semata-mata tetapi akan menjalankan penguatkuasaan di CIQ ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau(MPT), Arnold Joibi berkata, peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat di daerah Tawau ada kaitan dengan pergerakan penduduk dari pulau Sebatik yang berada di sempadan negara jiran Indonesia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|