PPM rampas rokok tanpa cukai RM104,960

PPM rampas rokok tanpa cukai RM104,960

Sandakan: Cubaan dua lelaki menyeludup masuk rokok tidak bercukai dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM), dalam operasi di kawasan pesisiran pantai Kampung Bahagia, di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 12 tengah malam itu, dua lelaki terbabit bagaimanapun berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Pegawai Pemerintah PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, semasa pemantauan dijalankan di kawasan pantai itu, pihaknya mendapati dua lelaki sedang memunggah rokok berkenaan.

Bagaimanapun katanya, sebaik menyedari kehadiran polis, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri ke kawasan setinggan.

“Hasil pemeriksaan ke atas tempat kejadian menemui beberapa kotak rokok keretek dianggarkan bernilai RM104,960.

“Barang rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rusdin berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi whatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 0139391197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan
terus ke Gerakan PPM Sandakan di talian 089-221453 bagi memastikan keselamatan perairan Malaysia dapat dilindungi daripada anasir jahat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|