Covid-19: Pengidap kanser cetus kluster komuniti berkaitan majlis ibadah korban

Covid-19: Pengidap kanser cetus kluster komuniti berkaitan majlis ibadah korban

Kota Kinabalu: Seorang pengidap kanser mencetuskan kluster baharu Covid-19 dalam komuniti yang dipercayai berpunca daripada majlis ibadah korban di daerah Ranau pada bulan lalu.

Kluster Timbua itu yang dilaporkan di Sabah hari ini sehingga kini merekodkan sebanyak 48 kes positif, termasuk satu kes baharu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kes indeks berumur 52 tahun itu dikesan positif Covid-19 selepas menjalani saringan pra kemasukan ke wad hospital pada 23 Julai lalu.

“Terdapat satu kluster baharu di Sabah hari ini iaitu Kluster Timbua, Ranau yang dipercayai berpunca daripada aktiviti berkumpul oleh masyarakat untuk majlis ibadah korban di Masjid Timbua.

“Kes indeks adalah seorang penghidap kanser, iaitu lelaki berumur 52 tahun yang dikesan positif COVID-19 (RTK-Ag) pada 23 Julai lalau melalui saringan pra-kemasukan ke wad.

“Turut dikesan positif ialah penjaga kepada kes indeks di wad melalui ujian RTK-Antigen. Saringan kontak rapat dijalankan pada 27 hingga 29 Julai lalu mendapati pertambahan kes positif dalam kalangan kontak rapat sebelum diperluaskan hingga 10 Ogos 2021,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Masidi berkata, daripada 239 kontak yang disaring, 48 orang dikesan positif termasuk satu kes baharu hari ini, manakala 95 kontak didapati negatif dan 97 kontak lagi masih menunggu keputusan ujian saringan.

Selain Kampung Timbua, katanya jumlah kes positif turut membabitkan penduduk beberapa lokaliti lain antaranya Kampung Lembah Permai, Kembiroi, Merungin Dua dan Kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata saringan kluster sedia ada pada hari ini merekodkan kes baharu yang tinggi di Kluster Pauh, Kinabatangan iaitu sebanyak 45 kes.

Ia kemudian diikuti Kluster Sibulu, Tenom (23 kes); Kluster Gambaron Dua, Telupid (10); Kluster Tempasuk, Kota Belud (10); Kluster Jeti, Kudat (enam); Kluster Jalan Utara Dua, Sandakan (empat) dan masing-masing tiga kes di Kluster Lebuh Empat, Sandakan; Kluster Kampung Melamam, Sipitang dan Kluster Jalan Mat Salleh, Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, sebanyak 12 lagi kes kematian akibat Covid-19 di Sabah hari ini iaitu lima kes di Tawau, diikuti tiga kes di Sandakan dan masing-masing satu kes di Keningau, Telupid, Kota Kinabalu serta Tenom.

Seramai 919 pesakit Covid-19 pula dilaporkan sembuh hari ini, manakala seramai 4,542 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,083 orang di hospital, diikuti seramai 3,405 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam, 50 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara serta empat orang lagi di fasiliti swasta.

Masidi berkata, seramai 142 pesakit pula dilaporkan berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 72 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

Secara keseluruhan, Sabah merekodkan sebanyak 1,383 kes baharu pada hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|