Bot bawa warga asing dihalau keluar dari perairan Tawau

Bot bawa warga asing dihalau keluar dari perairan Tawau

Tawau: Cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke perairan laut pelabuhan Tawau, di sini, berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Op Benteng Covid.

Kehadiran bot penumpang berkenaan yang dipercayai menuju ke perairan Tawau dikesan kira-kira jam 8 pagi, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang warganegara tempatan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati bot berkenaan membawa dua lelaki dan seorang wanita bersama seorang kanak-kanak warga Indonesia berusia lingkungan 3 hingga 33 tahun.

“Anggota PPM kemudiannya memberi penerangan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Covid -19 sepertimana yang ditetapkan dalam perintah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998′.

“Bot berkenaan kemudiannya diiring keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak kembali semula ke negara ini bagi mengekang penularan wabak covid-19,” katanya.

Ridzauddin berkata, Ops Benteng kini memberi fokus kepada pendekatan pengusiran terhadap pendatang tanpa izin dan kemasukan warga asing berbanding tangkapan sebelum ini.

Katanya, pihak berkuasa juga mengambil pendekatan langkah pencegahan awal agar tiada kemasukan warganegara Indonesia melalui perairan laut Tawau seterusnya mencegah peningkatkan kes COVID-19 di daerah Tawau.

“Menerusi operasi ini, kita membuat keputusan dari segi Ops Benteng , kita halau dan usir mereka sebelum memasuki kawasan sempadan perairan negara kita,” katanya.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi whatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 0139391197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan
terus ke Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan keselamatan perairan Malaysia dapat dilindungi daripada anasir jahat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|