Penduduk Labuan mohon kelonggaran aktiviti rekreasi keluarga, rentas negeri

Penduduk Labuan mohon kelonggaran aktiviti rekreasi keluarga, rentas negeri

Labuan: Selepas lebih tiga bulan berkurung di rumah berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di Labuan, penduduk pulau bebas cukai itu berharap diberi kelonggaran melakukan aktiviti rekreasi bersama keluarga, selain rentas daerah atau negeri.

Permintaan itu mengambil kira kedudukan Labuan yang kini sudah mencapai imuniti kelompok dengan lebih 80 peratus penduduk dewasa menerima dua dos suntikan vaksin lengkap sejak akhir bulan lalu.

Penjawat awam, Mohd Nizam Yasim, 49, berkata Labuan juga sudah memasuki fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermakna lebih banyak kelonggaran boleh diberikan dalam usaha memulihkan ekonomi.

Katanya, rekreasi bersama ahli keluarga penting sebagai terapi minda untuk memulihkan semangat anak-anak yang terlalu lama terkurung di rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan (PKPD) sejak Mei lalu.

“Kalau boleh rekreasi bersama lima orang atau lebih ahli keluarga dibenarkan secara terkawal di Labuan. Rekreasi penting sebagai terapi minda selepas sekian lama tidak dibenarkan keluar,” katanya, di sini.

Katanya, aktiviti rekreasi secara terkawal yang membabitkan ahli keluarga seperti di kawasan pantai dan taman awam boleh dilaksanakan kerana lokasinya di kawasan terbuka dan banyak ruang untuk mempraktikkan penjarakan fizikal.

Selepas mencapai imuniti kelompok sejak akhir bulan lalu, kes COVID-19 di Labuan mencatat penurunan yang ketara dengan kes menurun secara drastik ke satu angka sejak kebelakangan ini berbanding tiga angka sejak beberapa bulan lalu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara lain mengumumkan kelonggaran aktiviti rekreasi tidak bersentuhan kepada individu lengkap vaksin, selain kelebihan untuk merentas daerah dengan hanya menunjukkan sijil digital vaksin dan makan di restoran berkuatkuasa mulai hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penjawat awam, Dk Rubiah P Ibrahim, 46, berharap kerajaan juga dapat mempertimbangkan kelonggaran perjalanan untuk urusan penting membabitkan ahli keluarga di luar pulau bebas cukai ini.

“Kalau ada urusan penting, contohnya ke Sabah banyak halangan yang terpaksa dilalui penduduk Labuan ketika ini berikutan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang masih dikuatkuasakan di Labuan dan di Sabah.

“Jadi kalau dapat, berilah kelonggaran bagi yang sudah lengkap dua vaksin tanpa perlu menjalani kuarantin di hotel dan saringan kerana kosnya sangat mahal,” katanya.

Jelasnya, kelonggaran yang diminta itu bukan bermakna penduduk tidak tertakluk kepada SOP, sebaliknya beliau berkata kerajaan boleh melaksanakan SOP khas kepada mereka yang lengkap vaksin untuk merentas negeri atau daerah.

Selain atas urusan penting seperti rawatan kesihatan, difahamkan ramai pasangan suami atau isteri di pulau bebas cukai ini juga tidak dapat bertemu pasangan masing-masing khususnya di Sabah berikutan larangan rentas negeri.

Dalam pada itu, kerajaan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) di pulau ini juga diminta supaya menggalakkan peniaga terutama premis makanan di menyediakan lebih banyak ruang di luar kedai untuk pelanggan makan di restoran bagi pengudaraan yang lebih baik sebagai langkah mengurangkan jangkitan COVID-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|