Penduduk di lokaliti PKPD jangan lari

Penduduk di lokaliti PKPD jangan lari

Kota Belud: Penduduk diingatkan supaya terus kekal di tempat tinggal masing-masing ketika tempoh PKPD dilaksanakan dan tidak keluar atau melarikan diri dari kawasan berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKPD.

Katanya, langkah berkenaan dilaksanakan adalah usaha kerajaan melandaikan penularan pandemik Covid-19 khususnya di negeri ini.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap orang ramai supaya tidak keluar melarikan diri dari kawasan yang dikenakan PKPD.

“Ini bagi mengelak daripada tersebarnya wabak ke kawasan lain dan seterusnya akan menyebabkan lokaliti PKPD bertambah dari hari ke hari,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir Program Op Bantu Fasa 3 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung tular satu gambar yang didakwa keadaan orang ramai keluar dari salah sebuah penempatan PKPD di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Hadir sama program berkenaan, Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin.

Mazli berkata, tindakan itu akan menyukarkan pihak kerajaan untuk melandaikan lekuk jangkitan kes Covid-19 di negeri ini.

“Usaha ini untuk membantu kerajaan supaya melandaikan wabak Covid-19.

“Jika didapati ada yang melanggar SOP atau arahan di kawasan PKPD, PDRM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dengan tujuan melandaikan wabak ini,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas berhubung keistimewaan yang diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin kepada penerima dos lengkap Covid-19, Mazli turut menasihatkan supaya orang ramai tetap mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Walaupun orang ramai telah mendapat dua dos vaksin namun kita nasihatkan supaya terus patuhi SOP kerana wabak ini masih lagi ada ada dan kita perlu berhati-hati kerana ada dua dos lengkap pun tidak bererti kita tidak dijangkiti oleh wabak ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|