Polis harungi cabaran redah bukit bukau, jalan berbatu agih kotak makanan

Polis harungi cabaran redah bukit bukau, jalan berbatu agih kotak makanan

Kota Belud: Meredah hutan, bukit-bukau dan jalan berbatu yang agak sukar dilalui kenderaan biasa dengan tempoh perjalanan lebih sejam memang cukup mencabar dan meletihkan.

Itulah yang terpaksa dilalui sepasukan anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud dalam melaksanakan Op Bantu di perkampungan terpencil di daerah ini, semalam.

Diketuai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan, misi untuk menyampaikan bantuan kotak makanan kepada penduduk yang memerlukan itu perlu diselesaikan walau apapun cabaran dilalui.

Bukan itu sahaja, sebaik tiba di tiga kampung iaitu Kampung Lahanas Siba, Lahanas Atas dan Gendukut, Mazli bersama Ketua Polis Daerah Kota Belud, Sahimi Husin, pegawai dan anggota terpaksa berjalan kaki sambil memikul kotak makanan dengan mendaki bukit ke rumah penduduk kampung yang terjejas.

Dengan memakai pakaian seragam PDRM, jelas baju itu dibasahi keringat, namun mereka tetap bersemangat meneruskan misi dan memastikan sumbangan kotak makanan sampai kepada penduduk.

Program Op Bantu yang turut disertai Anggota Skuad Aman Wanita (AMANITA) dan anggota Sukarelawan Simpanan Polis (SSPPDRM) itu mula bergerak dengan menaiki tujuh kenderaan pacuan empat roda dari IPD Kota Belud pada sekitar jam 7 pagi sebelum tiba ke destinasi dituju kira-kira dua jam kemudian.

Mazli berkata, pihaknya menyerahkan sebanyak 47 kotak makanan untuk diagihkan kepada 47 penerima di tiga kampung iaitu Kampung Lahanas Siba, Lahanas Atas dan Kampung Gendukut yang dikenal pasti terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bagi Op Bantu Fasa III kali ini, beliau berkata, pihaknya mensasarkan penerima yang agak jauh di kawasan pedalaman untuk menerima bantuan kotak makanan membabitkan keperluan keperluan asas dan sebagainya.

“Untuk Op Bantu Fasa III kita mensasarkan bantuan kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman yang jauh dan ada kalanya sukar untuk dikunjungi menggunakan kenderaan biasa.

“Kita terpaksa melalui jalan-jalan yang agak berbukit bukau, jalan berbatu yang agak sukar dilalui.

“Alhamdulillah pada hari ini (semalam) kita menyerahkan sebanyak 47 kotak makanan kepada sasaran penerima yang dikenal pasti di kawasan kampung berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengagihkan kotak makanan.

Menurutnya, semua penerima kotak makanan adalah di kalangan penduduk kampung yang benar-benar terkesan akibat pandemik Covid-19

“Untuk menyerahkan kotak makanan ini, kita bekerjasama dengan ketua-ketua kampung dan ketua masyarakat di kampung yang kita sasarkan menerima kotak makanan.

“Sebaik nama mereka diberi, pegawai dan anggota polis membuat tinjauan awal dan seterusnya kita akan pergi ke rumah mereka bagi menyerahkan sendiri kotak makanan ke tangan mereka sendiri,” katanya.

Beliau yang menyerahkan sendiri 47 kotak makanan kepada penerima di kampung berkenaan turut menyatakan terima kasih kepada kerajaan kerana melancarkan Op Bantu ini.

“Melalui pengalaman kami menyerahkan kotak makanan kepada penerima ini, kita mendapati bahawa penduduk yang ada ini terutama sasaran yang kita serahkan bantuan amat memerlukan.

“Mereka sangat menghargai dan berbanyak banyak terima kasih atas keprihatinan kerajaan kerana dapat meringankan beban yang mereka alami dikala berdepan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, penduduk yang menerima sumbangan kotak makanan dalam program Op Bantu itu melahirkan rasa gembira atas sumbangan daripada PDRM.

Seorang penerima bantuan, Josi Konil Duin, 31, berkata, bakul makanan yang diberikan pihak polis melalui Ops Bantu itu adalah kali pertama diterimanya sejak terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Josi yang bekerja sebagai penoreh getah berkata, pendapatannya kurang daripada RM100 setiap bulan, tidak cukup untuk menampung perbelanjaan hariannya berbanding sebelum ini dia pernah bekerja di syarikat percetakan di Johor.

“Disebabkan pandemik, saya balik ke kampung dan bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan kurang daripada RM100 setiap kali hasil getah dijual.

“Jadi dengan bantuan yang diterima hari ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami sekeluarga terutama makanan seperti beras yang sukar untuk kami dapatkan kerana perlu membelinya di pekan Kota Belud,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima bakul makanan, Rukana Saiwa, 30, mengakui amat terjejas dari segi pendapatan sejak pandemik melanda dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Mahu keluar pun susah, jual hasil tani pun susah sekarang kerana perlu mematuhi SOP iaitu hanya dua orang dalam satu kenderaan dibenarkan.

“Kampung kami pula terletak jauh di pedalaman jadi kalau keluar perlu menumpang mereka yang ada kenderaan, kalau bawa hasil tani pun sekali sekala saja dapat, jadi pendapatan pun terjejas juga,” katanya.

Katanya, menerusi bantuan yang disampaikan PDRM sedikit sebanyak dapat membantu mereka sekeluarga untuk menampung barang keperluan makanan untuk mereka sekeluarga.-

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|