20 tahun FPSK UMS cetus asimilasi, sebar pengetahuan

20 tahun FPSK UMS cetus asimilasi, sebar pengetahuan

FAKULTI Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memulakan langkahnya pada tahun 2003 dengan misi dan visi untuk menjadi pusat asimilasi (assimilation) dan penyebaran (dissemination) ilmu pengetahuan, penemuan dan inovasi dalam bidang perubatan dan sains kesihatan melalui aktiviti pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.  

Lima tahun selepas itu, iaitu pada tahun 2008, graduan sulung fakulti ini telah dihasilkan, dan kini, FPSK telah menelusuri 20 tahun proses asimilasi dan penyebaran ilmu pengetahuannya.  

Natijahnya, sebanyak 16 generasi graduan telah dihasilkan termasuklah generasi graduan pada Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-25 baru-baru ini melibatkan 158 graduan, menjadikan jumlah kumulatif alumni FPSK kini berjumlah 1,821 orang.

Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-25 baru-baru ini melibatkan 158 graduan, menjadikan jumlah kumulatif alumni FPSK kini berjumlah 1,821 orang.

Pada majlis konvokesyen edisi ke-25 tersebut, FPSK terus mencipta sejarah gemilangnya apabila buat julung kalinya, pengasas dan dekan pertama FPSK (2003 – 2011) iaitu Prof. Dr. Osman Ali dianugerahi gelaran Profesor Emeritus oleh Tuan Yang Terutama, Tun Juhar Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah yang juga Canselor UMS semasa sidang pertama majlis konvokesyen tersebut.  

Penganugerahan ini adalah atas peranan signifikan beliau dalam memajukan infrastruktur asas, pendidikan dan penyelidikan fakulti, termasuklah penubuhan Pusat Pendidikan Perubatan Desa atau Rural Medical Education Centre (RMEC) pada tahun 2009 di Sikuati, Kudat.  

Graduan Ijazah Doktor Perubatan FPSK, Dr. Tang Yi Lin turut mencipta sejarah apabila dianugerahi Pingat Emas Canselor buat julung kalinya setelah mendapat purata nilai gred PNGK 3.97.  

Telah menjadi tradisi fakulti ini, majlis ‘Celebrate Your Success’  telah diadakan sebelum majlis konvokesyen di Auditorium Utama FPSK sebagai platfom merai, menghargai dan mengiktiraf kejayaan para graduan serta penasihat akademik (supervisor) terlibat.  

Antara pengisian utama majlis adalah acara hooding ceremony, penyampaian anugerah dan hadiah khas graduan cemerlang termasuklah Hadiah Osman Ali serta sesi ikrar Physician’s Oath oleh graduan perubatan dan Nightingale Pledge dari graduan kejururawatan.

Alumni merupakan aset bernilai yang menjadi output operasi dan proses pembelajaran serta pengajaran di sesebuah institusi pendidikan, sekali gus menjadi katalis pembangunan sosioekonomi masyarakat dan negara.  

Kedua-dua ikrar ini merupakan tradisi dalam kalangan graduan perubatan sebagai manifestasi dan komitmen memelihara prinsip, etika dan profesionalisme dalam kalangan doktor dan pengamal perubatan sains kesihatan.  

Hadiah Osman Ali telah dimulakan sejak tahun 2022 merupakan sumbangan dan ihsan daripada Prof. Dr. Osman Ali sendiri. Dr. Tang Yi Lin, graduan Doktor Perubatan yang juga penerima anugerah Pingat Emas Canselor adalah penerima hadiah khas ini.  

Prof. Dr. Osman Ali ketika berkongsi pengalaman dan aspirasi beliau kepada kakitangan dan graduan FPSK dalam sesi ‘Inspirational Talk’ menyatakan FPSK kini terus mengalami kemajuan yang membanggakan, apatah lagi apabila Hospital UMS (HUMS) siap beroperasi kelak.  

Justeru, beliau menyarankan para graduan agar terus berkhidmat dan sentiasa memajukan ilmu serta kepakaran perubatan masing-masing untuk kesejahteraan diri dan orang lain khususnya pesakit mereka di masa hadapan.  

Dalam pada itu, alumni merupakan aset bernilai yang menjadi output operasi dan proses pembelajaran serta pengajaran di sesebuah institusi pendidikan, sekali gus menjadi katalis pembangunan sosioekonomi masyarakat dan negara.  

Alumni FPSK UMS yang berjumlah 1,821 orang telah dan akan kembali berkhidmat sama ada sebagai seorang doktor pakar perubatan atau pekerja profesional sains kesihatan lain.  

Terdapat juga alumni seperti ‘sirih pulang ke ganggang’, kembali menabur khidmat kepada alma maternya, dan langkah murni ini bukan sahaja mampu mendidik pelajar baharu menjadi pakar perubatan seperti mereka, tetapi pada masa yang sama membantu memperkuatkan tenaga pakar perubatan di fasiliti kesihatan negara.  

Contohnya, Dr. Yeap Boon Tat, alumni generasi pertama FPSK yang kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan Perubatan dan juga seorang pakar bius otak (neuroanaesthesiologist).  

Beliau telah mencipta sejarah bersama pakar perubatan dari Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) Kota Kinabalu, Sabah apabila berjaya melaksanakan pembedahan otak secara sedar atau ‘awake craniotomy’  buat julung kalinya di Sabah pada 12 Januari 2023.  

Selain penghasilan graduan atau alumni, impak proses asimilasi dan penyebaran ilmu pengetahuan fakulti juga dapat dilihat pelaksanaan program community engagement, selaras dengan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menggabungkan objektif pembelajaran dengan komuniti yang dikenali Service Learning Malaysia – University For Society atau ringkasnya SULAM.  

Dalam hal ini, FPSK merupakan antara fakulti yang aktif melaksanakannya melalui Program Perkongsian Universiti-Keluarga atau ringkasnya PUPUK yang telah dilaksanakan secara berterusan sejak awal penubuhan FPSK pada tahun 2003.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|