Kota Kinabalu: Sabah masih merekodkan peratus penduduk lengkap dua dos vaksin Covid-19 yang rendah dengan setakat ini baru mencapai 485,880 orang atau 17.6 peratus daripada populasi penduduk dewasa di negeri ini.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata hanya penerima dos pertama sudah mencapai lebih sejuta orang atau 40.8 peratus daripada jumlah populasi dewasa.
Bagaimanapun, katanya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan agensi yang berkaitan sedang berusaha untuk memberi vaksin kepada rakyat dalam kadar yang cepat untuk meningkatkan segera jumlah penduduk lengkap vaksin.
“Sehingga semalam (9/8/21) sebanyak 1,126,645 dos pertama telahpun diberi dan ini bermakna 40.8 peratus penduduk dewasa di Sabah sudah disuntik sekurang-kurangnya dos pertama vaksin.
“Mereka yang sudah melengkapkan dua dos suntikan bagaimanapun masih rendah, iaitu baru 485,880 orang atau 17.6 peratus daripada jumlah penduduk dewasa Sabah.
“Usaha terus dibuat oleh kerajaan untuk menambah kapasiti suntikan JKNS sambil memastikan bekalan vaksin yang cukup sentiasa ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata usaha meningkatkan vaksinasi penting berikutan situasi penularan Covid-19 sekarang yang sudah berada dalam masyarakat.
“Kita sedang berlumba mengejar masa untuk memberi vaksin kepada setiap orang yang layak untuk disuntik dengan kadar segera.
“Ini bermakna kes-kes baharu akan terus berada dalam angka yang tinggi sehingga lebih ramai penduduk memperolehi vaksin.
“Kes hanya akan mula menurun apabila kita berjaya memberi suntikan vaksin kepada penduduk pada satu tahap peratusan yang signifikan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya rakyat masih boleh membantu untuk mengawal penularan jangkitan virus Covid-19 dengan mengamalkan disiplin dan penjagaan kesihatan diri yang tinggi dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, pematuhan ketat SOP sangat penting sebagai benteng untuk menghalang jangkitan dan menyebarkannya kepada orang lain.
“Kes yang begitu tinggi membabitkan kontak rapat ketika ini adalah satu petunjuk bahawa ada di antara kita yang masih lalai dalam pematuhan SOP.
“Ia juga satu peringatan agar kita mengurangkan aktiviti sosial bersama kawan-kawan agar kita tidak terdedah kepada risiko jangkitan virus Covid-19.
“Ini kerana ada pembawa virus Covid-19 yang tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala,” katanya.
-Deasoka