Covid-19: Kes di Sabah naik lagi, 7 daerah catat kenaikan ketara

Covid-19: Kes di Sabah naik lagi, 7 daerah catat kenaikan ketara

Kota Kinabalu: Tujuh daerah merekodkan peningkatan ketara kes Covid-19 di Sabah yang sekali gus menyumbang kepada jumlah kes baharu yang tinggi sebanyak 1,383 kes, hari ini berbanding 1,247 semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daerah terbabit ialah Sandakan (+86), Keningau (+36), Kota Belud (+18), Kinabatangan (+21), Kota Marudu (+37), Beluran (+23) dan Tenom (+17).

Bagaimanapun katanya, daerah Kota Kinabalu kekal mencatat kes tertinggi iaitu 326 kes atau hampir 24 peratus daripada keseluruhan jumlah kes di Sabah hari ini.

“Ia diikuti daerah Tawau (168), Sandakan (138), Tuaran (92), Penampang (80), Keningau (79), Kota Belud (66), Beaufort (65), Kinabatangan (49), Kota Marudu (41), Papar (39), Beluran (33) danTenom serta Putatan masing-masing 30 kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masidi berkata, kontak rapat terus menjadi penyumbang utama kes harian di Sabah, dengan sebanyak 749 kes atau 54.2 peratus daripada jumlah kes hari ini, diikuti saringan bergejala sebanyak 322 kes (23.3 peratus), 111 kes saringan kluster (lapan peratus) dan 73 kes saringan bersasar (5.3 peratus).

Katanya, satu kluster baharu turut dilaporkan hari ini iaitu Kluster Kampung Timbua di Ranau yang setakat ini mencatat jumlah kumulatif 48 kes termasuk satu kes baharu.

“Daripada 1,383 kes hari ini, 1,064 kes adalah dalam kategori 1 dan 2, manakala 19 kes dalam kategori 3, diikuti 12 kes dalam kategori 4 dan enam kes dalam kategori 5. Sebanyak 282 kes lagi masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|