Jainab letak jawatan Ahli Lembaga Pengarah UMS

Jainab letak jawatan Ahli Lembaga Pengarah UMS

Kota Kinabalu: Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Dr Jainab Ahmad hari ini mengumumkan meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi sebelum ini.

“Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada bekas Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kerana melantik saya menjadi Ahli Lembaga Pengarah UMS.

“Berikutan keputusan beliau meletak jawatan maka dengan ini saya juga membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UMS.

“Akhir kata, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada Naib Canselor UMS dan seluruh pegawai serta kakitangan UMS kerana memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang perkhidmatan saya.

“Semoga negara kita akan sentiasa dilindungi oleh Allah SWT daripada virus Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang juga Ketua UMNO Tuaran turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UMS.

Bagaimanapun, Jainab berkata beliau menyokong pendirian UMNO Sabah menggunakan autonominya untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghormati keputusan rakyat negeri ini pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) yang memilih GRS memerintah di Sabah.

“Ia seperti yang dinyatakan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin baru-baru ini mengenai pendirian UMNO Sabah untuk terus menyokong kerajaan GRS.

“Dengan itu, lantikan di peringat negeri tidak akan berubah dan apa yang penting sekarang kita perlu fokus usaha untuk terus membantu rakyat yang sedang terhimpit dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19.

“Ini lebih-lebih lagi Sabah kini diisytiharkan berada dalam zon merah keseluruhannya. Matlamat kita kini ialah membantu kerajaan mempergiat kempen imunisasi agar imuniti kelompok dapat segera dicapai,” katanya.

Selain Jainab dan Abdul Rahman, seorang lagi pemimpin UMNO dari Sabah iaitu Ketua Pemuda UMNO Sabah, Abdul Aziz Julkarnain turut meletak jawatan sebagai pengarah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Boustead Plantation.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|