Tan Sri Ampong Puyon Tokoh Maal Hijrah Sabah 1443H

Tan Sri Ampong Puyon Tokoh Maal Hijrah Sabah 1443H

Kota Kinabalu: Ahli politik veteran Sabah, Tan Sri Ampong Puyon dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah sempena sambutan Maal Hijrah 1443H peringkat negeri yang diadakan secara sederhana, hari ini.

Ampong, 82, diberikan anugerah itu berdasarkan sumbangannya sebelum ini menerusi pembabitan secara aktif dalam aktiviti dakwah dan mengembangkan syiar Islam di Sabah.

Beliau pernah aktif dalam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) selain badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) dan Persatuan Belia Kebangsaan Sabah (SANYA).

Sebagai ahli politik, Ampong pernah bergiat aktif dalam Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bermula 1978 hingga 1990 sebelum menyertai UMNO hingga 2018.

Sepanjang karier politiknya, Ampong pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut pada 1985 hingga 1986, Ahli Parlimen Labuk-Sugut (1978-1982) dan ADUN Dilantik sebanyak dua kali iaitu pada 1964 hingga 1972 dan 1999 hingga 2004.

Berikutan sumbangannya dalam politik negeri dan negara, Ampong dianugerahkan Pingat Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada 2009 dan Anugerah Tokoh 1Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2009.

Bapa kepada empat anak itu juga pernah dilantik berkhidmat dalam beberapa syarikat kerajaan, antaranya Pengerusi Angkatan Hebat Sdn Bhd (2008-2018), Ahli Lembaga Pengarah Norsechem (Sabah) Sdn Bhd (2008 – 2016), Ahli Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) (2002 – 2018) dan Pengerusi Sabah Forestry Development Authority (SAFODA) (1994 – 2001).

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Amanah Yayasan Sabah (1994 – 2001), Pengarah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) (1997), Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) (1993 – 1995), Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) (1989 – 1994) dan Pengerusi Lembaga Letrik Sabah (LLS) (1972 – 1975).

Ampong menerima sijil dan hadiah wang tunai RM25,000 yang disampaikan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Arif di kediamannya semalam.

Dalam maklum balasnya, Ampong menyatakan rasa terharu dan gembira kerana sumbangannya mendapat penghargaan yang tinggi daripada kerajaan.

“Bukan senang untuk mendapat anugerah Tokoh Maal Hijrah ini. Saya memang senang hati dan gembira apabila dimaklumkan sebagai penerima pada tahun ini, lebih-lebih lagi saya sudah lama tidak ke mana-mana, hanya duduk di rumah disebabkan pandemik Covd-19,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menyifatkan pemilihan Ampong sebagai Tokoh Maal Hijrah Sabah pada tahun ini bertepatan dengan sumbangannya yang banyak membantu dalam aktiviti dakwah dan mengembangkan syiar Islam di negeri ini.

“Anugerah ini sebagai mengenang jasa Tan Sri Ampong Puyon kepada perkembangan Islam dan rakyat Sabah keseluruhannya.

“Ini adalah ingatan ikhlas kerajaan negeri kepada pengorbanan dan sumbangan beliau kepada negeri Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|