Semangat hijrah beri kekuatan hadapi cabaran pandemik

Semangat hijrah beri kekuatan hadapi cabaran pandemik

Kota Kinabalu: Umat Islam di Sabah digesa supaya menghayati semangat dan pengajaran daripada peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW untuk memberi kekuatan kepada rakyat mendepani cabaran pandemik Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dalam perutusannya sempena sambutan Maal Hijrah 1443H hari ini berkata, semangat hijrah boleh membantu umat Islam mengharungi norma baharu dan usaha memulihkan ekonomi negeri.

“Seperti tahun lalu, sambutan Maal Hijrah tahun ini juga dalam suasana pandemik.Pada tahun ini, kita meraikan sambutan Maal Hijrah dalam tempoh Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri ini sejak 10 Julai lalu.

“Apa yang penting, rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan agar kita mampu berhijrah daripada Fasa Dua ke Fasa Tiga PPN dalam masa terdekat ini,” katanya yang menyampaikan perutusan secara dalam talian.

Sambutan Maal Hijrah 1443H peringkat negeri diadakan dengan kehadiran terhad 30 ahli jawatankuasa penganjur di Dewan Saadah, Wisma MUIS, di sini, hari ini.

Pelancaran sambutan bertemakan Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin secara dalam talian.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Arif; Timbalan Yang Dipertua MUIS, Malai Ali Malai Ahmad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Saifulnizam Sangul.

Sementara itu, Hajiji berkata dengan mencontohi makna yang tersirat di sebalik peristiwa hijrah, kerajaan negeri turut merangka dasar dan hala tuju yang terancang menerusi Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Ini antara usaha untuk mengembalikan semula ekonomi negeri yang turut terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu. Saya yakin dengan sokongan dan penyertaan semua lapisan rakyat, pelan pembangunan ini dapat dilaksanakan
dengan jayanya,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan amat menghargai keprihatinan banyak pihak termasuk badan korporat, usahawan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang tampil menyalurkan bantuan kepada golongan terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Keadaan ini mencerminkan masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama sanggup mengenepikan segala perbezaan demi menjayakan prinsip mulia hidup bermasyarakat,” katanya.

Hajiji berkata, sudut positif Covid-19 turut membawa kepada penerokaan perniagaan dalam talian sekali gus menjadikan rakyat lebih dekat dengan ekonomi digital iaitu satu bentuk transformasi di bawah kerangka Revolusi Industri 4.0.

“Mahu atau tidak, kita perlu bersedia berhijrah menempuh Revolusi Industri 4.0 yang mana pasaran kerjanya dipenuhi dengan individu yang berkemahiran tinggi dan kreatif.

“Kita perlu mempersiapkan diri, generasi muda dan rakyat keseluruhannya agar tidak terpinggir dalam era globalisasi dan digital itu,” katanya.

Beliau turut menzahirkan tahniah dan terima kasih kepada tokoh Maal Hijrah yang dipilih tahun ini, Tan Sri Ampong Puyon atas sumbangan dan bakti dalam menegakkan syiar Islam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|