Kerajaan negeri salur bantuan berterusan kepada sekolah bantuan di Sabah

Kerajaan negeri salur bantuan berterusan kepada sekolah bantuan di Sabah

Kota Kinabalu: Persatuan Jawatankuasa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sabah (Sabah Dong Lian) merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri berikutan penyaluran peruntukan khas berterusan kepada sekolah bantuan kerajaan di negeri ini.

Pengerusi Sabah Dong Lian, Ben Lim Kiat Kong, menyatakan perkara itu ketika mengadakan kunjung hormat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), semalam.

Katanya, 83 SJKC dan lapan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di seluruh Sabah yang bernaung di bawah Sabah Dong Lian menerima banyak manfaat di atas keprihatinan Hajiji dan kerajaan negeri memberi bantuan berterusan kepada sekolah terbabit.

“Sabah Dong Lian merakamkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah kerana terus meluluskan bantuan peruntukan kepada sekolah-sekolah bantuan kerajaan termasuk sekolah persendirian dan sekolah mubaligh.

“Bantuan tetap disalurkan walaupun Sabah menghadapi isu pandemik Covid-19 yang sudah pasti memerlukan lebih banyak peruntukan untuk membantu rakyat dalam bidang kesihatan dan bantuan prihatin,” katanya.

Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Pengerusi Kehormat Sabah Ding Lian, Tham Yun Fook; Naib Pengerusi, Lim Ming Guan dan Setiausaha Agung, Chan Jun Ket.

Ben Lim turut merakamkan terima kasih kepada Pegawai Khas Ketua Menteri, Lo Su Fui atas usaha membantu menjayakan kunjungan hormat berkenaan.

Katanya, dalam kunjungan hormat itu, Sabah Dong Lian juga melaporkan situasi dihadapi sekolah SJKC dan SMJK ketika ini, selain memohon agar kerajaan negeri meluluskan peruntukan untuk menaik taraf sistem internet dan membeli bahan bantu mengajar ICT di SJKC dan SMJK seluruh negeri.

Sementara itu, katanya Hajiji menyatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap kemajuan dan pembangunan pendidikan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama termasuk pembangunan dan kemajuan SJKC, SMJK dan sekolah Mubaligh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|