Kebenaran sementara solat Jumaat di surau terpilih

Kebenaran sementara solat Jumaat di surau terpilih

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah memberikan kebenaran sementara kepada beberapa surau terpilih di seluruh negeri untuk mengadakan solat Jumaat sejajar pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berhubung kelonggaran kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19.

Menteri Tugas-tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Arif, berkata kebenaran itu diberikan kepada jawatankuasa di beberapa kawasan yang mengemukakan permohonan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) setelah mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, ia adalah alternatif yang diambil bagi membolehkan umat Islam di negeri ini dapat menunaikan solat Jumaat dengan jumlah jemaah yang terhad bagi mengekang penularan pandemik Covid-19

“Oleh itu, melalui Pejabat Mufti Negeri Sabah, Jheains dan juga Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), kita mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Sabah sekiranya ada kelonggaran yang dapat diberikan dari segi jumlah jemaah di masjid dan surau,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1443H/2021M di Masjid Negeri, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Sementara itu, Mohd Ariffin berkata, majlis bacaan doa akhir tahun dan awal tahun hijrah yang diadakan di seluruh Sabah diharapkan dapat mengukuhkan kekuatan dari sudut kesabaran, ketabahan dan muafakat bersama dalam melandaikan lekuk Covid-19 di negeri ini.

Majlis bermula dengan bacaan doa akhir tahun 1442 Hijrah dan awal tahun 1443 Hijrah yang dipimpin Timbalan Mufti Negeri, Sahibul Fadhilah Dr Mohammad Ali Abdullah dan disusuli dengan solat fardhu Maghrib yang diimamkan Imam Besar Masjid Negeri, Suhaidi Kuanting selain turut memimpin bacaan Surah Yasin serta tahlil ringkas selepas solat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|