Warga asing ditahan tunggang motosikal curi

Warga asing ditahan tunggang motosikal curi

Beaufort: Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan bersama sebuah motosikal yang dilaporkan dicuri kira-kira lapan tahun lalu dalam operasi di Kampung Pimping , Membakut, di sini, semalam.

Lelaki berusia 23 tahun dari negara jiran Indonesia terbabit ditahan jam 11.40 pagi, dalam operasi ‘Op Motosikal’ yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek pada awalnya ditahan di tepi jalan kampung berkenaan selepas dikesan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan tanpa mempamerkan nombor pendaftaran depan dan belakang.

Katanya, sebaik ditahan, pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan lesen menunggang motosikal yang sah.

“Pemeriksaan terhadap nombor enjin motosikal Honda EX5 berkenaan didapati sudah dikacau ganggu dan tidak lagi boleh dibaca.

“Bagaimanapun, pemeriksaan nombor casis pula didaftarkan dengan nombor SAB1985F dan mempunyai rekod kenderaan hilang pada tahun 2013 di kawasan Luyang, Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, suspek terus ditahan dan dibawa bawa balik ke IPD Beaufort bersama motosikal berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|