Ekonomi Sabah diujur berkembang hingga 4.5 peratus tahun depan

Ekonomi Sabah diujur berkembang hingga 4.5 peratus tahun depan

Kota Kinabalu: Pertumbuhan ekonomi Sabah dijangka menunjukkan pemulihan yang lebih baik dengan unjuran antara empat peratus hingga 4.5 peratus pada tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata unjuran itu berdasarkan situasi nasional dan global, selain pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi yang disasar melonjakkan semula ekonominya.

Beliau berkata, tiga pelaburan besar bernilai lebih RM10 bilion yang dimeterai di antara kerajaan negeri dan syarikat pemaju pada Mac tahun ini antara yang dijangka memberi kesan positif kepada ekonomi negeri pada tahun depan.

“Antara tiga pelaburan awal baharu yang dimeterai pada 22 Mac 2021 ialah industri pembuatan kerajang tembaga di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) bernilai RM4.2 bilion; Projek Lok Kawi Resort City dengan nilai pembangunan kasar RM7 bilion dan projek penanaman kelapa berhasil tinggi.

“Kita yakin dengan pelaksanaan pelbagai projek ini, prospek ekonomi Sabah pada 2022 dijangka menunjukkan arah aliran pemulihan yang lebih baik, sejajar dengan peringkat nasional dan global.

“Ekonomi Sabah dijangka berkembang pada kadar empat hingga 4.5 peratus pada 2022,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Mengangkat Sumpah Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Penggal Ke-13 Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau disampaikan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Roland Chia.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata bagi tahun ini kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Sabah masih perlahan tetapi pada kadar positif antara 3.8 peratus hingga empat peratus berikutan proses pemulihan akibat COVID-19 yang baru bermula.

Beliau berkata, pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pelbagai pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan disasar mempercepatkan lagi usaha pemulihan ekonomi Sabah.

“Dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, pertumbuhan negatif pelbagai sektor pada 2020 menunjukkan pertumbuhan positif pada tahun 2021.

“Oleh itu, pertumbuhan ekonomi Sabah pada ini dijangka menunjukkan aliran pemulihan dan akan berkembang secara perlahan tetapi pada kadar positif 3.8 peratus hingga empat peratus.

“Dalam ucapan Belanjawan 2022 awal bulan ini, saya menegaskan bahawa strategi dan pendekatan kita adalah untuk mempercepatkan pembangunan yang akan tertumpu kepada sektor pertumbuhan produktif dan sektor penting dalam pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.

“Pada 2022, kita memperuntukkan sebanyak RM919.18 juta untuk pembangunan sektor berkenaan. Jumlah itu membabitkan peningkatan sebanyak RM8.48 juta berbanding RM910.7 juta pada tahun ini,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga akan memperkukuh pelaksanaan projek pembangunan sedia ada dan baharu di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi tempoh 2021 hingga 2025 meliputi semua sektor yang akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Terdahulu, Hajiji menggesa semua ketua industri dalam FCAS supaya sama-sama menyokong usaha kerajaan dalam tempoh pemulihan semula ekonomi negeri yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Sejak hampir dua tahun lalu, kita melalui begitu banyak cabaran akibat penularan pandemik COVID-19. Kerajaan negeri mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kesan negatif COVID-19 dan merangsang semula pertumbuhan ekonomi Sabah.

“Pelbagai inisiatif yang sudah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri termasuk membuka semula sektor ekonomi dan membenarkan aktiviti merentas daerah serta negeri.

“Kerajaan yang saya terajui ini juga komited mempergiatkan usaha merangsang pertumbuhan ekonomi dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan serta menarik pelaburan berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata, dengan pengaruh, kepakaran dan rangkaian FCAS yang luas, gabungan berkenaan dapat memanfaatkan semua inisiatif kerajaan serta memainkan peranan dalam usaha memulihkan ekonomi Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|