Kota Kinabalu: Menjelang tahun baharu 2022, pelbagai cabaran baharu sedang menanti bagi setiap warga kerja Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah yang menuntut komitmen tinggi untuk menempuhi serta mengatasi pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, semua cabaran itu menuntut kesungguhan setiap warga kerja KKR Sabah dalam memastikan kementerian mampu menjadi peneraju dalam pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan infrastruktur asas di negeri ini.
Beliau berkata, bagi melonjakkan industri pembinaan negari, KKR Sabah mewujudkan Pelan Strategik KKR Sabah 2021-2025 dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 seiring dengan kerangka utama pembangunan negara melalui Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB-2030).
“Dalam pelan strategik ini, usaha meningkatkan kecekapan tadbir urus bagi memperkasa pembangunan insfrastruktur diletakkan sebagai teras pertama diikuti dengan usaha memantapkan pengurusan dan pelaksanaan projek jalan, jambatan dan bangunan serta memperkasakan pengurusan bekalan air,” katanya.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata demikian dalam perutusannya kepada kakitangan KKR Sabah sempena tahun baharu 2022.
Beliau berkata pelan strategik yang dibangunkan itu adalah ‘game changers’ bagi melonjakkan pembangunan negeri pada masa hadapan dengan menjadikan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai pemberi perkhidmatan bertaraf dunia dan pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan aset, projek dan perkhidmatan kejuruteraan melalui modal insan yang kreatif dan inovatif serta teknologi terkini.
“Justeru itu, sebagai agensi kerajaan yang menyumbang kepada Kecemerlangan Pengurusan Aset Menyeluruh, JKR akan bertanggungjawab terhadap amanah yang dimandatkan untuk melaksanakan agenda memperkasakan pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan setanding negara maju lain melalui sistem penyampaian perkhidmatan yang cemerlang,” katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berharap seluruh warga kerja di bawah KKR Sabah menetapkan resolusi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri malah turut mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Resolusi itu akan turut memberi kesan positif kepada jabatan dan seterusnya membantu negara bagi mencapai status negara maju dan sejahtera menjelang tahun 2030 dengan terus mendukung matlamat jabatan serta terus bekerja dengan ikhlas, amanah, berintegriti dan profesional bagi menyokong kerajaan dalam memajukan negara,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, sempena kehadiran tahun baharu 2022, Bung Moktar juga mengajak rakyat di negeri ini agar terus bersatu padu dengan menyokong kerajaan yang ada agar dapat meneruskan tugas dan tanggungjawabnya kepada rakyat.
Katanya, langkah itu penting bagi membawa lebih banyak pembangunan untuk kesejahteraan rakyat terutamanya untuk memulihkan kedudukan ekonomi negeri yang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19.
“Marilah kira raikan persamaan untuk memajukan negeri dengan meminggirkan perbezaan terutamanya ketika kerajaan meletakkan komitmen yang tinggi untuk memajukan negeri dan memulihkan ekonomi melalui beberapa sektor yang terjejas ekoran penularan Pandemik Covid-19,” katanya.
-Deasoka