Pengedar dadah warga emas ditahan

Pengedar dadah warga emas ditahan

Kudat: Perwatakan sebagai seorang lelaki warga emas alim dengan berkopiah gagal memperdayakan pihak berkuasa apabila ditahan bersama dadah jenis syabu, semalam.

Dalam operasi jam 4.30 petang itu, lelaki warga asing berusia 67 tahun terbabit ditahan dalam operasi dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Tanjung Kapor, di sini.

Syabu seberat 5.2 gram berjaya dirampas daripada supek warga emas terbabit. Pix Ihsan PGA Sabah

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi dijalankan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam berhubung pengedaran dadah di kampung berkenaan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki di hadapan sebuah rumah tidak bernombor untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui dua paket plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Dadah yang dianggarkan seberat 5.2 gram berkenaan terus dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua syabu yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,500 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, suspek yang mengaku berasal dari negara jiran Filipina terus ditahan untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 37B(1)(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) akta yang sama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|