Banjir, tanah runtuh akibat hujan di Beluran dan Sandakan

Banjir, tanah runtuh akibat hujan di Beluran dan Sandakan

Beluran: Hujan lebat sejak pagi tadi mengakibatkan tujuh kampung di daerah ini dan Sandakan dinaiki air, hari ini.

Antara kampung yang terbabit di daerah ini iaitu Kampung Kuala Sapi, Rampek, Kolapis Darat, Muanad Satu, Muanad Dua dan Muanad Tiga.

Anggota APM Beluran melakukan tinjauan di kawasan banjir di Beluran.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan dan Beluran, Kepten Abdullau Sabaruddin berkata, beberapa buah rumah di Kampung Muanad Tiga diminta berwaspada.

Bagaimanapun katanya, banjir dilaporkan mulai surut dan taburan hujan berkurangan.

Anggota bomba memasang memasang sawar-sawar sebagai amaran kepada pengguna jalan raya supaya berhati-hati.

“Bagi Sandakan, hanya membabitkan Kampung Memanjang yang dilaporkan dinaiki air.

“Hasil tinjauan pada jam 4 petang tadi, didapati beberapa jalan masuk ke kampung berkenaan ditenggelami air hingga menyebabkan jalan itu tidak dapat dilalui,” katanya.

Keadaan dinding rumah salah seorang penduduk Kampung Gas yang rosak akibat tanah runtuh.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Rastam Keladi berkata, susulan hujan lebat itu, jalan ke Kampung Toniting, dilaporkan hampir terputus akibat runtuh.

Katanya, sebuah kenderaan dilaporkan terjatuh ke dalam anak sungai selepas melalui jalan berkenaan namun pemandunya selamat.

Sementara itu, 14 sekeluarg di Kampung Gas, Sandakan berdepan detik cemas selepas dinding rumah mereka dihempap tanah runtuh, jam 3.30 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, rumah berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan kira-kira 5 peratus.

Namun katanya, semua penghuni dinasihatkan berpindah dan kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|